Skip to main content
Berita TempatanSarawak

300 Pelajar B40 Opar Terima Bantuan Persekolahan ‘Back To School’

By 16 Februari 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Aishah Latip (Lundu)

LUNDU, 16 Feb (MalaysiaAktif) – Usaha memperkasa pendidikan anak luar bandar terus diberi perhatian apabila seramai 300 pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah (B40) di Opar menerima kelengkapan persekolahan menerusi Program Bantuan Pendidikan Back To School yang berlangsung di CENTEXS Lundu, semalam.

Seramai 300 pelajar hadir menerima manfaat kelengkapan persekolahan menerusi Program Bantuan Pendidikan Back To School di CENTEXS Lundu, semalam.

Program anjuran Biro Pendidikan Opar itu disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Opar, Billy Sujang, yang menegaskan bahawa akses kepada pendidikan berkualiti adalah hak setiap anak tanpa mengira latar belakang ekonomi.

Bantuan yang disalurkan bukan sekadar beg sekolah, buku latihan, alat tulis dan kamus bagi pelajar sekolah menengah, malah membawa mesej besar tentang kepedulian masyarakat terhadap masa depan generasi muda.

Billy Sujang menyempurnakan ucapan perasmian Program Bantuan Pendidikan Back To School di CENTEXS Lundu sambil menekankan kepentingan menyediakan peluang pendidikan sama rata untuk semua pelajar.

“Kita tidak mahu ada anak yang memulakan sesi persekolahan dengan rasa terpinggir hanya kerana kekurangan kelengkapan. Bantuan ini adalah simbol harapan bahawa setiap anak di Opar berhak melangkah ke sekolah dengan keyakinan dan semangat yang sama,” katanya ketika merasmikan majlis berkenaan, semalam.

Inisiatif itu dilihat sebagai jambatan sosial yang merapatkan jurang pendidikan antara keluarga berkemampuan dan kurang berkemampuan. Billy Sujang turut menegaskan bahawa kejayaan sebenar bukan hanya diukur melalui pencapaian akademik, tetapi melalui peluang yang sama rata untuk mencapai potensi diri.

illy Sujang, bersama tetamu jemputan merakam kenangan bersama pelajar yang terlibat dalam Program Back To School di CENTEXS Lundu,

Program berkenaan mencerminkan komitmen berterusan kepimpinan setempat dalam memastikan tiada yang tercicir daripada arus pendidikan, selain menyemai keyakinan bahawa perubahan sosial yang besar bermula daripada langkah kecil yang konsisten dan penuh keikhlasan.

Turut hadir ialah Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Niponi Undek, Pengerusi Biro Pendidikan Opar, Andrew Alim Lagin, Timbalan Pegawai Daerah Lundu, Anwar Fakhriyuddin, Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah Lundu, Lim Long King, Timbalan Ketua Polis Daerah Lundu, DSP Mordani Tanin, serta para pengetua dan guru besar sekolah di kawasan Opar.

Tinggalkan komen anda