
Laporan/foto: Mohamad Norhasmin (Sarawak)
SIBU, 13 Feb (MalaysiaAktif) –Bulan Ramadan adalah saat paling sesuai untuk individu yang mengalami ketagihan rokok dan vape berazam meninggalkan tabiat tersebut.

Suriati Saperi memaklumkan bahawa Kempen Nafas Baru Bermula Ramadan 2026 kali ini mendapat sambutan menggalakkan daripada 300 orang pengunjung.
Pegawai Pendidikan Kesihatan Bahagian, Suriati Saperi berkata tempoh sekitar 14 jam berpuasa sehari membantu golongan itu mengawal keinginan merokok atau menghisap vape.
“Bulan Ramadan paling sesuai untuk individu yang ketagihan rokok atau vape berazam meninggalkan amalan tersebut. Selepas berbuka puasa, mereka disarankan untuk terus tidak merokok sehingga keesokan hari,” katanya ketika ditemui pada Kempen Nafas Baru Bermula Ramadan 2026/1447H, di sini kelmarin.
Kempen tiga hari anjuran Pejabat Kesihatan Bahagian Sibu bermula Selasa hingga semalam itu disertai kira-kira 300 penjawat awam dan orang ramai.
Program yang diperkenalkan sejak 2003 itu bertujuan menggalakkan masyarakat menjadikan Ramadan sebagai titik permulaan untuk berhenti merokok dan mengamalkan gaya hidup lebih sihat.
Sementara itu, Pegawai Teknologi Makanan Muhammad Izzul menasihati orang ramai supaya memastikan juadah berbuka puasa disediakan dan disimpan dengan cara betul bagi mengelakkan risiko keracunan makanan.
“Pengunjung diberikan khidmat nasihat mengenai pemakanan sihat sepanjang Ramadan, termasuk mengurangkan pengambilan gula berlebihan yang boleh menjejaskan kesihatan,” ujarnya.
-RJ-





