Skip to main content
Berita TempatanSarawak

Isu Keselamatan Jalan Raya di Sarawak Masih Membimbangkan

By 3 Februari 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Zamri Mohamad (Miri)

MIRI, 3 Feb (MalaysiaAktif) – Isu keselamatan jalan raya di Sarawak masih berada pada tahap membimbangkan apabila 21,747 kemalangan direkodkan tahun lepas, kata Menteri Pengangkutan Sarawak Dato’ Sri Lee Kim Shin.

Lee Kim Shin merasmikan Kempen Keselamatan Jalan Raya sempena Tahun Baru Cina 2026 bagi mengingatkan masyarakat pemanduan berhemah sepanjang musim perayaan.

Beliau berkata angka oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu membabitkan 418 kematian, 189 parah dan 300 cedera ringan.

“Angka ini jelas menunjukkan isu keselamatan jalan raya masih pada tahap membimbangkan.

“Walaupun kebanyakan kes hanya melibatkan kerosakan kenderaan, setiap insiden tetap memberi implikasi besar terhadap nyawa dan kesejahteraan masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Kempen Keselamatan Jalan Raya sempena sambutan Tahun Baharu Cina, di Stesen Minyak Shell, Permyjaya, di sini semalam.

Kempen oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Sarawak dengan kerjasama Pejabat Residen Bahagian Miri dan Kementerian Pengangkutan Sarawak (MOTS) itu bertujuan untuk terus memperkukuh usaha meningkatkan keselamatan jalan raya.

Sebagai tanda sokongan kepada keselamatan jalan raya.

Lee berkata kempen itu bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat supaya sentiasa mengutamakan keselamatan ketika berada di jalan raya, terutama sepanjang musim perayaan yang biasanya menyaksikan peningkatan ketara jumlah kenderaan.

“Usaha berterusan seperti ini diharapkan dapat membentuk budaya pemanduan berhemah, sekali gus mengurangkan kadar kemalangan jalan raya di Sarawak,” katanya.

Pihak penganjur mengagihkan 50 topi keledar dan 200 bungkusan cenderahati kepada pengguna jalan raya untuk menggalakkan pematuhan peraturan dan amalan pemanduan selamat.

-RJ-

Tinggalkan komen anda