Skip to main content
Berita TempatanSarawak

Kunjungan Timbalan Premier Perkukuh Perpaduan di Sri Aman

By 23 Februari 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Iswandi Kassim (Sarawak)

SRI AMAN, 23 Feb (MalaysiaAktif) – Sambutan Tahun Baharu Cina di Sri Aman berlangsung meriah apabila Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Dr. Sim Kui Hian mengadakan kunjungan ke kediaman Ketua Masyarakat Komuniti Cina Bahagian Sri Aman Kueh Aik Seng, kelmarin.

Dr. Sim (kanan, berkemeja kuning) disambut Kueh (kiri) sebelum menyempurnakan upacara menandatangani patung singa sebagai simbol doa kesejahteraan sempena sambutan Tahun Baharu Cina di Sri Aman.

Ketibaan beliau disambut dengan persembahan tarian singa dan naga oleh Pertubuhan Meninggikan Akhlak Che Chuan Khor Sri Aman yang menambahkan kemeriahan suasana perayaan.

Dalam kunjungan tersebut, Sim turut menurunkan tandatangan pada patung singa serta menyempurnakan upacara membakar mercun sebagai simbol kesejahteraan dan kemakmuran sempena tahun baharu.

Menurut Kueh, kunjungan pemimpin tertinggi kerajaan negeri itu mencerminkan keprihatinan dan komitmen berterusan kerajaan Sarawak dalam mendekati rakyat pelbagai kaum.

“Majlis seperti ini bukan sekadar sambutan perayaan, tetapi menjadi platform penting untuk memupuk perpaduan dan semangat muhibah dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di Sri Aman.

“Ia juga melambangkan keharmonian yang sekian lama menjadi tunjang kekuatan komuniti di sini, di samping mempererat kerjasama antara masyarakat dan kepimpinan negeri,” katanya.

Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Kitang Lo Khere Chiang serta pemimpin tempatan dan wakil komuniti.

-RJ-

Tinggalkan komen anda