Skip to main content
Berita TempatanRencana & PendapatSarawak

Menari Bersama Warisan: Denise dan Cinta terhadap Ngajat Iban

By 7 Februari 2026Tiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/Foto: Dennis Tandat (Serian)

SERIAN, 7 Februari (MalaysiaAktif) – Alunan muzik tabuh yang bergema dalam majlis kebudayaan sentiasa mencetuskan rasa teruja dalam diri Darlene Denise untuk menari Ngajat. Bagi remaja perempuan ini, tarian tradisional suku kaum Iban tersebut bukan sekadar persembahan seni, malah menjadi simbol jati diri dan warisan yang perlu dipelihara.

Denise, 14, dari Kampung Sinjok, Siburan dan berdarah kacukan Iban-Bidayuh mula meminati tarian Ngajat sejak kecil apabila sering mengikuti ayahnya ke majlis keramaian di sekitar Kuching dan Siburan yang menampilkan pelbagai persembahan kebudayaan.

Denise (kanan depan) mempersembahkan tarian tradisional Ngajat dalam sebuah acara kebudayaan, mencerminkan kecintaan generasi muda terhadap warisan seni suku kaum Iban.

Minat Sejak Kecil, Diasah Secara Formal

Kecenderungan Denise terhadap tarian Ngajat semakin jelas apabila dia sering meniru gerak tari yang ditonton melalui platform YouTube. Menyedari minat tersebut, ayahnya mengambil inisiatif menghantarnya mengikuti latihan secara formal di Akademi Seni dan Kebudayaan Persatuan Dayak Iban (ASADIA) Cawangan Siburan seawal usia lapan tahun.

Selepas hampir empat tahun mengikuti latihan berstruktur, remaja itu kini telah menguasai tarian Ngajat daripada peringkat asas hingga ke tahap lebih tinggi.

Antara yang paling mencabar ialah Ngajat Niti Chapak, iaitu tarian yang memerlukan penari meniti kepingan pinggan kaca dengan penuh keseimbangan dan ketelitian.

Selain itu, Denise turut mahir mempersembahkan variasi tarian lain seperti Ngajat Pua Kumbu dan Ngajat Ngilang Ngebau yang diperakui oleh Akademi Kesenian dan Kebudayaan Persatuan Dayak Iban Sarawak.

Sokongan Keluarga Jadi Pemangkin

Pada peringkat awal, penyertaan Denise dalam akademi tersebut adalah untuk memenuhi harapan ayahnya. Namun, selepas beberapa bulan mengikuti latihan pada waktu malam selepas sesi persekolahan, minatnya semakin berkembang secara semula jadi.

Kini sebagai pelajar Tingkatan Dua di Sekolah Menengah Kebangsaan Siburan, Denise sentiasa bersemangat untuk mendalami ilmu tarian Ngajat. Malah, dia tidak teragak-agak meminta keluarganya mendaftarkannya dalam siri latihan baharu yang menawarkan tahap kemahiran lebih tinggi.

Denise juga bertuah apabila memiliki set lengkap busana tradisional Ngepan hasil sokongan padu ibu bapanya yang sentiasa menggalakkan penglibatan anak mereka dalam seni dan budaya.

Warisan Tradisi Perlu Dipertahankan

Menurut Denise, generasi muda masa kini mudah terpengaruh dengan gaya hidup moden dan penggunaan gajet yang berlebihan sehingga melupakan asal-usul dan warisan budaya.

“Tanpa bimbingan ibu bapa, generasi muda mungkin akan lupa tentang keturunan dan warisan nenek moyang,” katanya.

Tambahnya, minat terhadap tarian Ngajat membuktikan bahawa warisan budaya tradisional masih relevan dan mempunyai daya tarikan tersendiri untuk terus diwarisi.

“Ngajat bukan sahaja seni tarian, tetapi juga lambang identiti dan kebanggaan kaum Iban yang perlu dipertahankan sampai bila-bila,” ujarnya.

Melihat kepada keazaman dan kecintaan mendalam Denise terhadap seni tarian Ngajat, anak muda ini wajar dijadikan contoh dan inspirasi kepada generasi sebayanya dalam memastikan kesinambungan warisan budaya negara terus terpelihara, seiring dengan arus pemodenan masa kini.

-RJ-

Tinggalkan komen anda