
Laporan/Foto: Elyas Hisyam Mat Zin/Azri Zainal Abidin (Kuala Lumpur)
KUALA LUMPUR, 23 Feb (MalaysiaAktif) – Majlis Perwakilan Penduduk Wilayah Persekutuan (MPPWP) Sub Zon 1, Parlimen Titiwangsa menyemarakkan bulan Ramadan dengan program perpaduan dan nilai murni menerusi Program Gotong-Royong Memasak dan Mengedar Bubur Lambuk di Dewan Blok B, Flat Desa Pandan, di sini kelmarin.
Menurut Pengerusi Penganjur merangkap Timbalan Pengerusi MPPWP tersebut Mohd Ariff Mohd Hefini, program sehari itu telah dirancang lebih awal oleh pihak jawatankuasa penduduk sebelum Ramadan lagi.

Aktiviti membungkus bubur lambuk.
“Program ini bukan sahaja bertujuan menyediakan juadah berbuka puasa, malah menjadi platform mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan masyarakat.
“Bubur lambuk yang dimasak secara bergotong-royong ini akan diagihkan kepada para pengunjung Bazar Ramadan Desa Pandan selepas selesai ia dimasak,” katanya kepada Malaysia Aktif.
Menurutnya, penduduk setempat mula berkumpul di dewan seawal jam 8 pagi bagi menyediakan bahan-bahan masakan pada program tahunan itu yang mendapat kerjasama erat MPPWP Parlimen Titiwangsa, Persatuan Penduduk Flat Desa Pandan dengan sokongan belia serta golongan wanita setempat.
Sebanyak dua kawah besar digunakan untuk memasak bubur lambuk yang mengandungi beras, daging, santan, rempah ratus dan pelbagai bahan lain. Kaum wanita bertanggungjawab memotong dan menyediakan bahan, manakala golongan lelaki mengendalikan proses memasak di kawasan lapang berhampiran dewan.
Sebanyak 500 bungkus bubur lambuk diedarkan secara berperingkat oleh petugas kepada orang ramai di Bazar Ramadan Desa Pandan. Selain itu, sebahagian bubur tersebut turut dihantar ke Madrasatul Khairat Desa Pandan untuk para jemaah berbuka puasa.
Seorang penduduk yang juga petugas program tersebut, Nur Ayuni Mazlan, 40, meluahkan rasa syukur dan gembira kerana program tersebut masih diteruskan setiap tahun.

Aktiviti mengedarkan bubur lambuk kepada orang ramai di Bazar Ramadan Desa Pandan.
“Program seperti ini sangat bermakna kerana bukan sahaja dapat menikmati juadah berbuka malah kami dapat berkumpul dan saling membantu antara satu sama lain,” ujarnya.
Sementara itu, Jaafar Amsak Yusof, 64, memaklumkan program gotong-royong memasak dan mengedar bubur lambuk ini diharap dapat diteruskan pada masa akan datang sebagai tradisi yang menyatukan komuniti serta menyemarakkan lagi semangat Ramadan.
“Aktiviti rewang atau gotong-royong seperti ini bukan sekadar untuk menyediakan juadah berbuka tetapi ia adalah medium terbaik untuk merapatkan ukhuwah antara jiran tetangga. Kita mahu memastikan semangat bantu-membantu ini tidak ditelan zaman,” katanya.
-RI





