
Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)
SHAH ALAM, 23 Feb (MalaysiaAktif) – Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) menahan seorang lelaki yang disyaki mengaku sebagai Rasul di sebuah premis di Rawang, kelmarin.
Pengarah JAIS Mohd Shahzihan Ahmad, berkata individu berusia 65 tahun itu ditahan bersama tiga lagi pengikutnya, terdiri daripada dua lelaki dan seorang wanita dalam serbuan sama.
“Tangkapan itu susulan aduan tular pada 9 Feb lalu mengenai individu mengaku Rasul dan didakwa mempengaruhi ahli keluarga pengadu.
“Pasukan khas digerakkan segera sehingga membawa kepada penahanan empat individu yang disyaki,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Menurutnya, siasatan awal mendapati suspek mendakwa bertemu Nabi Adam secara nyata pada waktu siang dan Nabi Muhammad dalam bentuk cahaya pada malam.
“Dia juga mendakwa bertemu para Rasul dua hingga tiga kali seminggu antara dua hingga tiga tahun lalu di sebuah taman negara.
“Pengikutnya percaya lelaki terbabit sebagai utusan Allah dan menganggap segala arahannya sebagai suruhan, termasuk tidak perlu solat atau berpuasa jika berasa letih,” jelasnya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 7 dan Seksyen 8 Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 kerana melakukan perbuatan bercanggah hukum syarak.
-RI





