
Laporan/foto: Noorsiah Mahmud (Kota Kinabalu)
KOTA KINABALU, 3 Feb (MalaysiaAktif) – Pelaksanaan Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (ONSA) dilihat sebagai langkah positif kerajaan dalam melindungi pengguna internet daripada pelbagai risiko digital termasuk penipuan dalam talian dan pendedahan kepada kandungan berbahaya.
Masyarakat di Kota Kinabalu menyambut baik inisiatif berkenaan khususnya dalam usaha melindungi kanak-kanak, warga emas, serta pengguna yang mudah terdedah kepada penyalahgunaan maklumat peribadi.

Valerie berkongsi pandangan mengenai kepentingan Akta Keselamatan Dalam Talian (ONSA) dalam melindungi masyarakat, khususnya golongan pencen yang mudah terdedah kepada penipuan dalam talian.
Bagi Valerie Hazel Ebin Gon, 38, ONSA bukan sahaja penting untuk kanak-kanak, malah memberi manfaat kepada warga emas yang sering menjadi sasaran penipuan.
“Golongan pencen kadangkala mudah percaya apabila menerima mesej atau panggilan. Dengan adanya akta ini, ia dapat membantu mereka lebih berhati-hati serta mengurangkan kandungan berisiko.
“Diharap pelaksanaan ONSA dapat mengurangkan penularan kandungan tidak sesuai yang boleh memberi kesan buruk kepada masyarakat,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Sementara itu, Petsie Lajaip, 48, menekankan penguatkuasaan akta berkenaan amat penting bagi melindungi kanak-kanak yang masih belum memahami risiko dunia digital.
“Budak-budak mudah percaya, terutama apabila melibatkan permintaan maklumat atau wang. Undang-undang ini perlu, selain meningkatkan kesedaran supaya mereka tidak berkongsi maklumat dengan orang tidak dikenali. Kadang-kadang orang dewasa pun cepat percaya. Jadi bila ada perlindungan begini, maklumat peribadi juga lebih terjamin,” katanya.

Braddy berpandangan ONSA dapat meningkatkan keselamatan digital dengan menapis kandungan berisiko, terutama bagi melindungi kanak-kanak dan masyarakat.
Braddy Johnson Jairim, 35, pula menyifatkan ONSA mampu menapis pelbagai kandungan berisiko termasuk pautan mencurigakan, komen negatif dan unsur kebencian.
“Langkah ini penting bagi melindungi kanak-kanak yang mudah terdedah kepada pautan berbahaya di telefon pintar. Sekarang hampir semua urusan dibuat secara dalam talian dan wang disimpan di bank.
“Dengan adanya akta ini, keselamatan masyarakat khususnya kanak-kanak dapat dipertingkatkan. Saya pernah mengalami kenalan kehilangan wang akibat menekan pautan mencurigakan dan mungkin kes sebegini tidak akan berlaku sekiranya ONSA diperkenalkan,” jelasnya.
-RJ





