
Laporan/foto: Ahmad Nizam Abidin (Pekan)
PEKAN, 3 Feb (MalaysiaAktif) – Seramai 800 pelajar dan pesakit kronik daripada golongan asnaf di daerah ini menerima sumbangan zakat bernilai kira-kira RM300,000 hasil inisiatif tanggungjawab sosial korporat oleh pengendali haji dan umrah, Andalusia Travel & Tours Sdn. Bhd, Sabtu lepas.

Para pelajar dari golongan asnaf juga menerima zakat Andalusia
Ahli Parlimen Pekan Dato’ Seri Sh Mohmed Puzi Sh Ali menzahirkan penghargaan kepada Andalusia atas keprihatinan menyalurkan sumbangan tersebut yang disifatkan amat bermakna dalam membantu penerima membuat persiapan menghadapi bulan Ramadan.
“Sumbangan ini turut membantu golongan asnaf yang menghidap penyakit kronik apabila bantuan RM500 yang diterima dapat digunakan untuk membeli ubat-ubatan serta menampung keperluan asas sepanjang bulan Ramadan,” katanya.

Lafaz Wakalah Zakat oleh Pengurus Andalalusia Travel & Tours Sdn.Bhd. di hadapan Ahli Parlimen Pekan
Sementara itu, Pengarah Urusan Andalusia Travel & Tours Sdn. Bhd. Ibrahim Mat Sin berkata program berkenaan merupakan penganjuran kali ketiga di daerah Pekan dengan jumlah sumbangan zakat dianggarkan RM230,000.
“Manakala, RM60,000 lagi diperuntukkan bagi perbelanjaan makanan dan minuman.
“Pihak kami juga berhasrat untuk membawa golongan asnaf menunaikan ibadah umrah secara percuma pada tahun ini,” katanya.
-AA-





