Skip to main content
Berita TempatanFokusSARASarawak

Penduduk Mukah Manfaatkan SARA RM100, Ringankan Beban Perbelanjaan Harian

By 9 Februari 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Salleh Immun/Samshul Keram (Sarawak)

MUKAH, 9 Feb (MalaysiaAktif) – Penduduk Mukah mula memanfaatkan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) bernilai RM100 yang dikreditkan secara sekali bayar (one-off) melalui MyKad hari ini, dengan kebanyakannya menggunakan bantuan tersebut untuk membeli barangan keperluan asas.

Mazlan Abdullah (berbaju gelap) menunjukkan tanda bagus selepas selesai membeli barangan keperluan menggunakan Sumbangan Asas RAHMAH (SARA) di sebuah pasar raya di Mukah, hari ini.

Tinjauan Malaysia Aktif di beberapa pasar raya dan kedai runcit sekitar Mukah mendapati penerima bantuan membeli barangan seperti beras, gula, minyak masak dan keperluan dapur lain bagi menampung perbelanjaan harian.

Mazlan Abdullah dari Kampung Sau berkata bantuan SARA memberi kelegaan khususnya kepada golongan berpendapatan rendah yang berdepan peningkatan kos sara hidup.

“Bantuan ini sangat membantu. Sekurang-kurangnya kami dapat membeli barangan asas tanpa terlalu memikirkan beban kewangan,” katanya ketika ditemui hari ini.

Kueh Siew Hoo gembira kerana dapat berbelanja menggunakan SARA pagi ini di sebuah pasaraya di Mukah.

Seorang lagi penerima dari Kampung Penakub Cina, Kueh Siew Hoo berkata bantuan tersebut membantu keluarganya mengurus perbelanjaan isi rumah dengan lebih terancang.

“Kenaikan harga barang memberi kesan kepada perbelanjaan harian. Dengan adanya SARA, kami dapat membeli keperluan asas tanpa terlalu bimbang,” ujarnya.

Zulfahmi Zaidi dari Kampung Teh turut menyifatkan inisiatif itu sebagai bukti keprihatinan kerajaan terhadap rakyat luar bandar.

“Walaupun jumlahnya tidak besar bagi sesetengah pihak, ia amat bermakna bagi kami,” katanya.

Selain membantu meringankan beban rakyat, pelaksanaan SARA turut memberi impak positif kepada peniaga tempatan apabila berlaku peningkatan pembelian barangan asas.

Zulfahmi memanfaatkan sumbangan SARA untuk membeli barangan keperluan asas.

Difahamkan, senarai barangan yang boleh dibeli di bawah SARA turut diperluas berbanding sebelum ini, sekali gus memberi lebih pilihan kepada penerima untuk berbelanja secara berhemah.

Rata-rata penduduk berharap inisiatif berkenaan dapat diteruskan pada masa hadapan bagi membantu rakyat menghadapi cabaran kos sara hidup yang semakin meningkat.

-RJ

Tinggalkan komen anda