Skip to main content
Berita TempatanSabah

PERASA Perkukuh Jaringan Komuniti Menerusi Jom Masak Bubur Lambuk

By 26 Februari 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: AgKu Marzuki Ag Latip/Hendry Nurdin (Tawau)

TAWAU, 26 Feb (MalaysiaAktif) – Program Jom Masak Bubur Lambuk anjuran Persatuan Peduli dan Prihatin Rakyat Sabah (PERASA) menjadi platform memperkukuh perpaduan komuniti setempat sempena Ramadan.

Penaung PERASA Datuk Ruji Ubi berkata pihaknya menyasarkan kira-kira 1,200 paket bubur lambuk untuk diedarkan di masjid sekitar Merotai, Kawasan Rukun Tetangga (KRT) terlibat serta pengguna jalan raya di laluan utama Merotai-Tawa.

“Alhamdulillah, ini merupakan program pertama PERASA bersama KRT dan Komuniti MADANI di Merotai. Kita lihat sambutan amat menggalakkan dan semangat kebersamaan sangat kuat dalam kalangan penduduk.

Ruji Ubi (tiga dari kanan) mengaul bubur lambuk sempena gimik perasmian Program Jom Masak Bubur Lambuk anjuran PERASA dengan kerjasama KRT Merotai serta Komuniti MADANI di Tawau.

“PERASA akan meneruskan kerjasama strategik termasuk penganjuran program sama di Wisma Persekutuan minggu hadapan serta majlis memasak bubur lambuk di Sungai Imam sempena perasmian dewan terbuka baharu masjid di kawasan berkenaan,” katanya ketika ditemui pada program itu di sini, semalam.

Ruji berkata PERASA juga aktif melaksanakan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) di Tawau serta Kalimantan bagi membantu golongan memerlukan.

“Antara aktiviti dilaksanakan termasuk pengumpulan dan pengagihan pakaian terpakai, bantuan bakul makanan serta santunan ke kampung terpilih terutama sepanjang Ramadan,” katanya.

Pada majlis sama, pendaftaran ahli baharu Komuniti MADANI turut diadakan bagi memperluas jaringan sukarelawan dalam usaha memperkasa komuniti setempat.

-RJ-

Tinggalkan komen anda