Skip to main content
Berita TempatanBerita SelatanNegeri Sembilan

Perkukuh Bekalan Air, Manfaat 80,000 Akaun Pengguna

By 20 Februari 2026Februari 23rd, 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Hasnida Saarani/Media MBNS

SEREMBAN, 20 Feb (MalaysiaAktif) – Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun hari ini merasmikan Loji Rawatan Air (LRA) Ngoi-Ngoi Fasa 2 yang bakal memperkukuh kestabilan bekalan air di Seremban, Nilai dan Sendayan.

Dengan kapasiti pengeluaran sebanyak 150 juta liter sehari, loji berkenaan dijangka memberi manfaat kepada lebih 80,000 akaun pengguna domestik, komersial dan industri di kawasan terlibat.

Aminuddin, menegaskan projek bernilai RM228 juta ini adalah pelaburan strategik jangka panjang demi kesejahteraan bekalan air rakyat Negeri Sembilan.

Menurutnya, projek bernilai RM228 juta itu merupakan sebahagian daripada perancangan jangka panjang kerajaan negeri bagi memastikan pembangunan pesat tidak mendahului kesiapsiagaan infrastruktur asas.

“Air bukan sekadar utiliti tetapi nadi kehidupan. Jika bekalan terganggu, yang terkesan bukan sahaja paip malah rutin harian, operasi perniagaan dan kesejahteraan rakyat. Sebab itu kerajaan memilih untuk merancang lebih awal serta memperkukuh margin simpanan bekalan,” katanya.

Beliau berkata kerajaan negeri turut memastikan pematuhan terhadap Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang ditetapkan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) bagi menjamin keselamatan dan kestabilan bekalan air untuk jangka panjang.

Menteri Besar bergambar kenangan bersama wakil kepimpinan Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) dan SAINS selepas menyempurnakan tandatangan pada plak Majlis Perasmian LRA Ngoi-Ngoi Fasa 2.

Beliau menegaskan bahawa projek berkenaan bukan bersifat kosmetik atau bermusim sebaliknya satu pelaburan strategik untuk tempoh 10 hingga 20 tahun akan datang demi kesejahteraan rakyat Negeri Sembilan.

Selain pembinaan loji baharu, usaha agresif turut dilaksanakan bersama Syarikat Air Negeri Sembilan (SAINS) termasuk penggantian paip lama, pengurangan kadar Air Tidak Terhasil (NRW), penambahan tangki imbangan serta penaiktarafan sistem agihan.

Projek berkenaan turut melibatkan kerjasama Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) dan agensi berkaitan.

-RI

Tinggalkan komen anda