
Laporan/foto: Salleh Immun (Sarawak)
MUKAH, 8 Feb (MalaysiaAktif) – Program gotong-royong yang dianjurkan Hospital Mukah dengan kerjasama Pusat Khidmat Parlimen Mukah berjaya memperkukuh kerjasama antara kakitangan hospital, agensi kerajaan, ketua masyarakat dan komuniti setempat, selain meningkatkan kesedaran terhadap kepentingan kebersihan persekitaran.
Program yang bermula jam 8 pagi itu melibatkan 90 peserta termasuk kakitangan Hospital Mukah, Pusat Khidmat Parlimen Mukah, Pejabat Daerah Mukah, Pejabat Kesihatan Bahagian Mukah, Ibu Pejabat Polis Daerah Mukah, Jabatan Bomba dan Penyelamat Mukah, Angkatan Pertahanan Awam Daerah Mukah, serta Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum Daerah Mukah.

Taklimat gotong-royong diadakan sebelum program bermula bagi memastikan tugasan berjalan lancar dan selamat.
Pengarah Hospital Mukah, Dr. Ardiff Damiri, berkata program berkenaan merupakan salah satu inisiatif berterusan hospital untuk memperkukuh budaya kerja berpasukan, memupuk semangat kesukarelaan dan memastikan persekitaran hospital selamat serta kondusif untuk pesakit, pengunjung dan kakitangan.
“Program ini melibatkan kakitangan hospital dan sukarelawan komuniti berganding bahu menjalankan kerja mengecat kerusi pelawat, mengemas taman serta memindahkan kerusi atau peralatan rosak ke tempat yang disediakan,” katanya ketika ditemui di Hospital Mukah, pagi semalam.
Dr. Ardiff menambah bahawa penganjuran gotong-royong seumpama ini juga menjadi platform mengeratkan hubungan antara pihak hospital dan masyarakat.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada Timbalan Menteri Kesihatan Dato’ Hanifah Hajar Taib kerana mencetuskan inisiatif berkenaan.

Para peserta gotong-royong bergambar beramai-ramai setelah selesai program pagi semalam.
-RJ-





