
Laporan/foto: Viji Kiruthika
PERMATANG PAUH, 7 Feb (MalaysiaAktif) – Politeknik Seberang Perai (PSP) terus memperkukuh agenda pembangunan bakat Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) berkemahiran tinggi menerusi kerjasama strategik industri yang memberi impak langsung kepada peningkatan kompetensi dan kebolehpasaran dalam bidang pembuatan digital dan teknologi percetakan 3D.

Sesi Tandatangan Surat Hasrat (LOI) antara PSP yang diwakili oleh Mohd Ruzi (duduk kiri) dan AEC Machinery diwakili oleh Noor Hidayah (duduk kanan).
Usaha berkenaan dizahirkan melalui Majlis Tandatangan Surat Hasrat (LOI) antara PSP dan AEC Machinery Sdn. Bhd. serta penyerahan mesin pencetak 3D kepada 30 peserta Kursus Digital Manufacturing Mastery AMFIF, yang berlangsung di Bilik JED, Politeknik Seberang Perai, di sini kelmarin.
Program ini dilaksanakan dengan kerjasama 3D Gen Sdn. Bhd. sebagai rakan latihan teknikal dan ditaja oleh Yayasan Peneraju, selaras dengan keperluan industri dalam melahirkan tenaga kerja mahir yang menguasai teknologi pembuatan digital serta aplikasi percetakan 3D.
Pengarah PSP Mohd Ruzi Hamzah, berkata inisiatif ini membuka ruang kerjasama dalam perkongsian teknologi, pemindahan kepakaran industri, pelaksanaan latihan kemahiran serta penyediaan laluan pembangunan kerjaya kepada pelajar dan peserta program.

Salah seorang peserta Kursus Digital Manufacturing Mastery AMFIF, yang menerima mesin pencetak 3D
“Sebagai simbolik kerjasama, sebanyak 30 unit mesin pencetak 3D telah diserahkan kepada peserta bagi menyokong pembelajaran secara praktikal, pembangunan prototaip dan projek inovasi, yang dijangka meningkatkan tahap kompetensi teknikal, kreativiti serta kebolehpasaran graduan,” katanya.
Turut hadir, Pengarah Urusan 3D Gen Sdn. Bhd. Dr. Izhar Abd Aziz dan Pengurus Cawangan AEC Machinery Sdn. Bhd. Noor Hidayah Abd Razak, sekali gus mencerminkan komitmen kukuh industri dalam memperkasa ekosistem TVET negara.
-AA-





