Skip to main content
Berita TempatanBerita SelatanJohor

Ranhill SAJ Anjur Solat Sunat Istisqa Mohon Hujan

By 6 Februari 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Mohd Rafezan Shawal/Facebook Ranhill SAJ (Johor Bahru)

JOHOR BAHRU, 6 Feb (MalaysiaAktif) – Ranhill SAJ telah menganjurkan solat sunat istisqa di Empangan Sungai Layang sebagai ikhtiar memohon agar diturunkan hujan berikutan cuaca panas dan kemarau yang melanda negeri Johor hingga ke hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Interim Ranhill SAJ Mohd Hedzir Hanafi berkata solat sunat yang diimamkan Imam Masjid Taman Kota Masai, Ostadi Othman itu disertai lebih 150 orang jemaah.

Lebih 150 orang jemaah telah mengadakan solat sunat istisqa di Empangan Sungai Layang bagi memohon hujan di kawasan empangan yang mula menunjukkan pengurangan air

“Penganjuran solat sunat istisqa ini sebagai ikhtiar dan komitmen Ranhill SAJ dalam mengimbangi usaha operasi dan pendekatan spiritual bagi memastikan keperluan bekalan air bersih kepada pengguna terus dinikmati dan tiada berlaku gangguan bekalan,” katanya di sini hari ini.

Sementara itu, Mohd Hedzir berkata Ranhill SAJ sedang menjalankan beberapa proses mitigasi bagi memastikan kestabilan bekalan air masih berada pada tahap terkawal dan optimum.

“Langkah mitigasi yang dilakukan termasuk pemantauan rapi paras air dan kualiti air takungan, pengolahan sistem pembekalan yang lebih stabil serta pengurusan operasi loji rawatan air berada pada tahap memuaskan,” katanya.

Beliau berkata usaha dan ikhtiar yang dilakukan ini diharapkan membawa rahmat kepada seluruh Bangsa Johor dengan dikurniakan hujan bagi mengimbangi keperluan bekalan air ketika ini.

-AA-

Tinggalkan komen anda