
Laporan/foto: Salleh Immun (Sarawak)
MUKAH, 17 Feb (MalaysiaAktif) – Amalan rumah terbuka sempena Tahun Baharu Cina terus menjadi platform memperkukuh perpaduan masyarakat apabila Kapitan Kueh Bing Chuan menganjurkan majlis berkenaan di kediamannya di Kampung Penakub Bazaar, di sini, petang ini.
Kueh yang juga Ketua Kaum Kampung Penakub Bazaar serta Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Penakub Bazaar berkata, tradisi kunjung-mengunjungi itu membuka ruang kepada komuniti pelbagai kaum untuk bersama-sama meraikan perayaan.
“Budaya ini mencerminkan keunikan perpaduan rakyat Malaysia apabila masyarakat berbeza agama dan budaya dapat duduk semeja serta berkongsi juadah,” katanya ketika ditemui pada majlis itu.

Persembahan tarian singa memeriahkan Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina anjuran Kapitan Kueh Bing Chuan di Kampung Penakub Bazaar, Mukah, petang ini.
Menurutnya, Tahun Baharu Cina menjadi platform menyatukan masyarakat berbilang kaum melalui penganjuran rumah terbuka serta aktiviti kemasyarakatan yang melibatkan komuniti setempat. Beliau berkata, sambutan yang diraikan secara sederhana itu tetap mencerminkan semangat kebersamaan yang menjadi asas kekuatan masyarakat di kawasan berkenaan.
“Semangat ‘Gong Xi Fa Cai’ yang dizahirkan setiap kali sambutan bukan sekadar ucapan, sebaliknya simbol perpaduan kaum yang terus kukuh dan menjadi asas kepada keharmonian negara,” katanya. Beliau turut menegaskan penganjuran rumah terbuka memberi manfaat besar kepada generasi muda kerana ia membuka peluang untuk mereka mengenali dan memahami kepelbagaian budaya yang menjadi identiti Malaysia.
“Melalui amalan ini, generasi muda dapat melihat sendiri bagaimana masyarakat berbilang bangsa boleh duduk semeja, berbual mesra dan berkongsi kegembiraan tanpa sebarang prejudis,” katanya.
Beberapa penduduk yang ditemui menyifatkan rumah terbuka sebagai platform terbaik untuk mengeratkan semangat kejiranan serta memupuk sikap saling menghormati antara kaum.
Kehadiran ADUN Tellian Royston Valentine dan ADUN Abdul Yakub Arbi bersama isteri dan keluarga turut memeriahkan majlis. Royston menyifatkan tradisi berkenaan selari dengan aspirasi kerajaan dalam memperkukuh perpaduan nasional melalui penglibatan komuniti di peringkat akar umbi.

Royston (baju merah) dan Abdul Yaakub (baju biru) disambut oleh Kapitan Kueh di kediamannya petang ini.
Abdul Yakub berkata sambutan Tahun Baharu Cina di Mukah dan Balingian berlangsung dalam keadaan terkawal serta harmoni dengan kerjasama pasukan keselamatan. Beliau menegaskan tradisi itu wajar diteruskan kerana ia bukan sekadar adat, sebaliknya lambang kebersamaan dan semangat muhibah yang perlu dipertahankan.
-RJ-





