
Laporan/Foto: Noorsiah Mahmud (Kota Kinabalu)
KOTA KINABALU, 11 Feb (MalaysiaAktif) – Masyarakat di Sabah khususnya di Bandaraya Kota Kinabalu menyambut baik penyaluran Sumbangan Asas Rahmah (SARA) Untuk Semua yang mula dikreditkan, kelmarin.

Ros Silah meluahkan rasa syukur atas penyaluran Skim Sumbangan Asas Rahmah (SARA) yang membantu meringankan beban kos sara hidup.
Bantuan kredit one-off RM100 itu disifatkan sebagai langkah proaktif kerajaan dalam membantu meringankan kos sara hidup rakyat, terutama golongan berpendapatan rendah.
Seorang pesara, Ros Silah Susi, 56, berkata bantuan tersebut amat bermakna khususnya kepada ketua isi rumah yang berdepan kekangan kewangan dan individu yang masih mencari pekerjaan.
“Alhamdulillah, bantuan ini sekurang-kurangnya dapat meringankan beban mereka yang kurang mampu. Harga barang semakin meningkat jadi bantuan ini sangat membantu.
“Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada kerajaan kerana sentiasa prihatin dan mengambil berat kebajikan rakyat,” katanya ketika ditemui di ITCC, Penampang, kelmarin.

Suhaime berkata bantuan SARA yang disalurkan kerajaan sedikit sebanyak membantu beliau membeli keperluan harian sekali gus meringankan beban perbelanjaan seharian.
Sementara itu, penjawat awam, Suhaime Sahirul, 33, berpendapat inisiatif SARA sebelum ini telah membantu ramai masyarakat daripada pelbagai latar belakang dalam memenuhi keperluan asas harian.
“SARA sedikit sebanyak membantu saya yang bujang untuk membeli keperluan harian. Inisiatif ini memberi kelegaan kepada penerima dan memudahkan urusan harian,” ujarnya.
Bagi lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Junior Joshua, 18, bantuan tersebut turut memberi manfaat kepada golongan belia yang belum bekerja.
“Bagi yang baru tamat sekolah, bantuan ini boleh digunakan untuk membeli makanan dan barangan asas tanpa bergantung sepenuhnya kepada ibu bapa,” katanya.
Penyaluran SARA Untuk Semua merupakan antara usaha berterusan kerajaan dalam memastikan kebajikan rakyat terus terpelihara serta membantu golongan memerlukan menghadapi cabaran kos sara hidup.
-RJ-





