
Laporan/foto: Sumardi Sugiman/Mohamad Rizal Sabtu (Sarawak)
LIMBANG, 18 Feb (MalaysiaAktif) – Sambutan Tahun Baharu Cina di kawasan Parlimen Limbang disambut meriah melalui amalan kunjung-mengunjung yang mencerminkan semangat perpaduan dan keharmonian masyarakat berbilang kaum di daerah ini.
Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Hasbi Hasbibollah berkata, perayaan tersebut menjadi platform memperkukuh muafakat dan kebersamaan demi memastikan keamanan serta kemakmuran terus terpelihara.

Hasbi berkunjung ke rumah balu mendiang Ang Kheng Su, Datin Lim Kui Eng.
“Kepelbagaian ini bukan untuk memisahkan kita sebaliknya menjadi kekuatan yang diraikan dalam kehidupan masyarakat pelbagai kaum di daerah ini sejak sekian lama sebagai asas untuk kita saling mengenal dan memperkukuh perpaduan dalam suasana harmoni,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Menurut Hasbi, amalan berkunjung ke rumah saudara-mara dan rakan pada hari pertama Tahun Baharu Cina melambangkan penghargaan terhadap persahabatan serta usaha memelihara silaturahim.

Hasbi berkunjung ke rumah Temenggong Leong Boon Ming
Hasbi yang juga Ahli Parlimen Limbang berkata demikian ketika mengadakan kunjungan bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Danau Dato Paulus Palu Gumbang ke kediaman Temenggong Leong Boon Ming di sini.
Turut hadir Pengerusi Majlis Daerah Limbang Kaunselor Sufian Mohat. Beliau turut menziarahi kediaman balu mendiang Temenggong Ang Kheng Su, Datin Lim Kui Eng serta beberapa pemimpin masyarakat dan usahawan tempatan.






