
Laporan/foto: Norshazila Ahmad/Mohd Hafiz (Sabak Bernam)
SEKINCHAN, 4 Feb (MalaysiaAktif) – Di sebalik keriuhan pelanggan di Pasar Awam Sekinchan, tersimpan satu kisah inspirasi seorang anak jati Sabak Bernam yang setia berniaga selama 30 tahun.
Azman Masri, 56, yang juga Ketua Kampung Parit 5, Sekinchan, memulakan langkahnya dalam dunia perniagaan ikan sejak tahun 1995.

Pasar Awam Sekinchan kini menjadi antara lokasi wajib singgah bagi pelancong yang berkunjung ke daerah Sabak Bernam untuk mendapatkan hasil laut segar
Bermula sebagai seorang pekerja biasa, beliau kini berjaya memiliki perniagaan sendiri yang menjadi sumber rezeki untuk menyara keluarganya.
Menurut Azman, keistimewaan utama Pasar Awam Sekinchan terletak pada kualiti hasil lautnya yang segar dan pelbagai pilihan.
“Kira-kira 50 peratus hasil laut di sini adalah dari Sekinchan sendiri, manakala selebihnya dari luar, faktor kesegaran dan harga ikan yang jauh lebih murah menjadi sebab utama mengapa pelanggan sanggup datang dari jauh.
“Ikan kembung lemak di sini memang menjadi kegilaan ramai, kalau hujung minggu atau cuti umum, pasar ini akan sesak dengan pengunjung bukan sahaja dari Selangor tetapi juga dari Negeri Sembilan, Perak dan Kuala Lumpur,” katanya ketika ditemui hari ini.
Tambah beliau, pembukaan Lebuhraya Pantai Barat (WCE) juga memberikan impak yang sangat positif apabila akses ke Sekinchan menjadi lebih mudah, sekali gus melonjakkan jumlah pelancong yang singgah memborong hasil laut sebelum pulang ke destinasi masing-masing.

Azman sentiasa menekankan kualiti dengan menjual hasil laut yang segar di lot kedainya yang terletak di hadapan pintu utama Pasar Awam Sekinchan
Beliau menyifatkan pembangunan pesat yang dibawa kerajaan dalam sektor pelancongan sebagai pintu rezeki buat peniaga kecil sepertinya.
“Saya amat bersyukur dengan limpah pembangunan ini, Sekinchan kini dikenali sebagai salah satu lokasi pelancongan utama di Selangor.
“Saya juga berpuas hati dengan beberapa penambahbaikan pasar ini yang dilakukan secara berperingkat oleh pihak kerajaan seterusnya memberikan keselesaan kepada kami para peniaga dan juga pengunjung,” ujarnya lagi.
Pasar Awam Sekinchan yang terletak strategik di tengah-tengah pusat bandar bukan sahaja menjadi nadi ekonomi penduduk tempatan, malah ianya merupakan destinasi wajib singgah bagi sesiapa sahaja yang inginkan hasil laut yang segar dengan harga yang murah.
-AA-





