Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahSelangor

Toleransi Kaum Kunci Keharmonian Selangor – Amirudin

By 9 Februari 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)

BATU CAVES, 9 Feb (MalaysiaAktif) – Semangat toleransi dan saling menghormati antara kaum menjadi tunjang utama kekuatan Selangor dalam mendepani cubaan pihak tertentu yang sengaja membangkitkan sentimen perkauman di negeri ini.

Amirudin bersalam dan beramah mesra dengan penerima baucar Jom Shopping Perayaan Tahun Baru Cina di Pasar Raya Sri Ternak.

Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari berkata keharmonian jelas terpancar apabila sambutan Tahun Baharu Cina peringkat negeri diawalkan bagi menghormati ketibaan Ramadan yang hampir serentak.

“Tahun ini sambutan Tahun Baru Cina jatuh pada 17 dan 18 Februari, manakala kita akan mula berpuasa pada 19 Februari. Sebab itu kerajaan negeri buat sambutan lebih awal.

“Walaupun ia luar daripada tradisi atau kebiasaan, tetapi inilah toleransi yang kita perlukan. Ada rakan-rakan bukan Islam kata tidak mengapalah buat awal supaya tidak mengganggu persiapan Ramadan. Sifat faham-memahami inilah yang sangat mahal,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan Program Penyerahan Baucar Jom Shopping Perayaan Tahun Baru Cina bagi DUN Sungai Tua di Pasaraya Sri Ternak, di sini semalam.

Amirudin dan tetamu mengucapkan selamat menyambut Tahun Baru Cina.

Mengulas lanjut, Amirudin yang juga Ahli Parlimen Gombak mengingatkan rakyat agar tidak mudah terpengaruh dengan pihak yang cuba memecah belahkan perpaduan antara kaum Melayu, Cina dan India.

“Dalam negeri kita sekarang, ada orang cuba bakar sentimen, nak pisahkan kita dengan bangkitkan macam-macam isu. Namun, kerajaan negeri tetap komited untuk bersikap seadil mungkin kepada semua rakyat tanpa mengira latar belakang,” tegasnya.

-RI

Tinggalkan komen anda