
Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus (Labuan)
LABUAN, 9 Feb (MalaysiaAktif) – Lebih 50 kontinjen mengambil bahagian dalam Perarakan Tanglung FT Sparkling Night Labuan anjuran Perbadanan Labuan di Kompleks Sukan Laut Antarabangsa Labuan sempena Sambutan Hari Wilayah Persekutuan (SHWP) 2026, di sini kelmarin.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Hannah Yeoh diiringi timbalannya, Datuk Lo Su Fui menyaksikan perarakan tanglung
Perbadanan Labuan dalam satu kenyataan memaklumkan program itu berperanan menyemarakkan semangat patriotisme serta memupuk semangat cinta akan Wilayah Persekutuan melalui pencahayaan dan hiasan kenderaan berhias.
“Acara perarakan tanglung ini amat dinanti-nantikan oleh komuniti tempatan kerana ia pernah menjadi acara utama sambutan terdahulu sebelum dihentikan penganjuranya buat suatu tempoh.
“Penampilannya semula tahun ini menjadi salah satu tarikan utama di dalam SHWP edisi kali ini,” menurut kenyataan itu.
Sebanyak enam kategori penyertaan dipertandingkan iaitu sekolah rendah, sekolah menengah dan institusi pendidikan tinggi, Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK), agensi swasta, agensi kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO) dan persatuan serta menerusi sub-kategori perarakan tanglung dan kereta berhias.

Turut ditonjolkan persembahan Tarian Citra Budaya dan Tarian Singa bersempena sambutan Tahun Baharu Cina yang akan disambut tidak lama lagi
Selain itu, program tersebut turut menampilkan persembahan Tarian Citra Budaya dan Tarian Singa bersempena sambutan Tahun Baharu Cina yang akan disambut tidak lama lagi selain seiring inisiatif Tahun Melawat Malaysia 2026.
“Program ini menonjolkan Wilayah Persekutuan Labuan sebagai destinasi yang vibrant, mesra pelancong dan kaya dengan kepelbagaian budaya,” menurut kenyataan itu.
-AA-





