
Laporan/foto: Zuriatina Tamat (Kluang)
KLUANG, 10 Feb (MalaysiaAktif) – Bahagian Baitulmal, Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAIJ) menganjurkan sesi wacana Kapsul Pusaka: Rancang Harta, Urus Pusaka bertempat di Dewan Ibnu Khaldun, Masjid Kampung Dato’ Abdul Rahman Yassin, di sini pagi tadi.

Ceramah disampaikan oleh Ustaz Muhammad Hamka Idris mengenai harta pusaka
Program tersebut mendapat sambutan menggalakkan apabila lebih 200 peserta terdiri daripada ahli Hal Ehwal Wanita (HELWA) dan wakil jabatan hadir bagi menimba ilmu berkaitan pengurusan harta pusaka.
Wacana berkenaan menekankan kewajipan umat Islam merancang pembahagian harta pusaka mengikut hukum faraid serta memperincikan golongan waris yang berhak, termasuk suami atau isteri, anak lelaki, anak perempuan serta ibu dan bapa.
Salah seorang peserta, Azizah Suleiman, 59, berkata program itu sangat bermanfaat dan memberi kefahaman jelas kepada masyarakat.
“Penerangan yang disampaikan sangat berkesan dan mudah difahami. Program seperti ini wajar diteruskan agar lebih ramai mendapat manfaat,” katanya.

Antara peserta yang hadir
Sementara itu, Rusilawati Idris, 66, berkata penganjuran program tersebut membantu orang ramai membuat persediaan awal dalam mengurus harta pusaka secara teratur dan mengikut syariat Islam.
Wacana yang berlangsung lebih tiga jam itu turut menyentuh topik berkaitan wasiat, hibah, iddah dan fidyah yang berkait rapat dengan urusan pusaka dan waris.
-AA-





