Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahKuala Lumpur

34 Anak Yatim Dirai Dalam Program Imarah MADANI Parlimen Bukit Bintang

By 9 Mac 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Ahmad Idham Abd Hamid/Normaisarah Abd Rahman

KUALA LUMPUR, 9 Mac (MalaysiaAktif) – Seramai 34 orang anak yatim diraikan dalam Program Imarah MADANI anjuran Pejabat Ahli Parlimen Bukit Bintang dengan kerjasama Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) Parlimen Bukit Bintang, Akademi Kenegaraan Malaysia (AKM) serta komuniti Masjid Al-Khasyi’in, Taman Desa Petaling, di sini semalam.

Ucapan perasmian oleh Ahli Parlimen Bukit Bintang.

Ahli Parlimen Bukit Bintang Fong Kui Lun berkata penganjuran program tersebut bertujuan memperkukuhkan semangat ukhuwah dan perpaduan dalam kalangan masyarakat melalui pelbagai aktiviti kemasyarakatan yang melibatkan penyertaan komuniti setempat.

Menurutnya, program seumpama itu juga merupakan usaha berterusan dalam menyemai semangat kerjasama serta memupuk hubungan yang lebih erat antara penduduk tanpa mengira latar belakang.

“Selain merapatkan hubungan masyarakat, program ini turut memberi perhatian kepada golongan kurang berkemampuan seperti asnaf dan anak yatim agar kebajikan mereka terus terpelihara khususnya menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri,” katanya ketika berucap.

Edaran bubur lambuk kepada penduduk setempat.

Kesemua anak yatim dari Pusat Jagaan Kasih Murni itu turut menerima sumbangan duit raya yang disampaikan oleh Pejabat Parlimen Bukit Bintang sebagai tanda keprihatinan dalam persiapan bagi menyambut Aidilfitri.

Program berkenaan turut diisi dengan aktiviti gotong-royong memasak bubur lambuk yang menjadi tradisi masyarakat Malaysia khususnya sepanjang bulan Ramadan yang secara tidak langsung berjaya mengeratkan hubungan silaturahim antara ahli komuniti dan penduduk.

Program Imarah MADANI itu diakhiri dengan pengagihan sebanyak 400 bekas bubur lambuk kepada komuniti serta penduduk sekitar sebelum diteruskan dengan majlis berbuka puasa bersama di Masjid Al-Khasyi’in.

-RI

Tinggalkan komen anda