
Laporan/foto: Mohd Rafezan Shawal (Johor Bahru)
JOHOR BAHRU, 9 Mac (MalaysiaAktif) – 10 penumpang yang menaiki sebuah bas ekspres dari Kuala Lumpur ke Johor Bahru nyaris maut apabila kenderaan itu terbabas sebelum terbalik di Kampung Sepakat Baru selepas susur keluar Plaza Tol Skudai, di sini semalam.
Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Johor berkata kejadian berlaku pada 8.20 malam dipercayai akibat bas berkenaan hilang kawalan lalu terbalik di bahu jalan di lokasi.

Kesemua mangsa telah berjaya dikeluarkan dan kemudian diberikan rawatan awal sebelum dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut.
“Sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Skudai bersama jentera telah dikejarkan ke lokasi kejadian bagi mengeluarkan mangsa kemalangan,” katanya menerusi kenyataan yang dikeluarkan semalam.
Dua orang penumpang dilaporkan tersepit di dalam bas ekspres berkenaan manakala lapan mangsa termasuk pemandu bas mengalami kecederaan ringan.
“Anggota bomba telah menggunakan peralatan khas dalam operasi ini bagi membawa keluar mangsa yang tersepit sebelum dihantar ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) untuk mendapatkan rawatan termasuk mangsa yang mengalami kecederaan ringan,” katanya.
Operasi menyelamat tamat sepenuhnya pada 9:15 malam.
-RI





