
Laporan/foto: Iswandi Kassim/UKAS (Sarawak)
SRI AMAN, 4 Mac (MalaysiaAktif) – Seramai 35 Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) bagi Daerah Sri Aman dan Lingga menerima sijil pelantikan rasmi dalam majlis yang berlangsung di Wisma Agensi Pembangunan Sri Aman (SADA), di sini semalam.
Pelantikan tersebut merangkumi penyampaian sijil pelanjutan tempoh perkhidmatan, satu pelantikan baharu serta sijil penghargaan kepada waris mantan penghulu sebagai tanda penghormatan atas jasa yang dicurahkan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga Dayang Noorazah Awang Sohor berkata pelantikan ini merupakan langkah memperkasa kepimpinan komuniti agar lebih proaktif dan responsif dalam memastikan setiap isu rakyat dapat ditangani dengan segera.
Beliau menegaskan KMKK perlu sentiasa peka terhadap isu semasa termasuk pengurusan bencana dan gangguan bekalan air, serta memastikan laporan awal disalurkan segera kepada agensi berkaitan untuk tindakan pantas.
“KMKK merupakan tulang belakang pentadbiran di peringkat akar umbi serta menjadi penghubung utama antara kerajaan dan masyarakat setempat.
“Amanah yang diberikan ini perlu digalas dengan penuh tanggungjawab, ketelusan dan integriti demi kesejahteraan penduduk,” katanya pada majlis berkenaan.
Dalam pada itu, Pegawai Daerah Sri Aman, Shariff Bujang dan Pegawai Daerah Lingga, Frank Lani sepakat menegaskan bahawa peranan KMKK amat penting dalam memastikan sistem penyampaian kerajaan berjalan lancar.
Menurut mereka, KMKK perlu bertindak sebagai jambatan yang menghubungkan masyarakat dengan pihak pentadbiran agar segala aduan serta permasalahan rakyat dapat disalurkan secara teratur dan tepat.
-FN





