
Laporan/foto: Ashikin Mustafa (Kota Tinggi)/Facebook KPDN Johor
KOTA TINGGI, 4 Mac (MalaysiaAktif) – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) telah melaksanakan Program Inisiatif Pendigitalan Sektor Peruncitan (ReDI) di Bazar Ramadan RAHMAH (BRR) Jalan Mawar, di sini semalam bagi memperkasa pendigitalan transaksi dalam sektor peruncitan tempatan.

Pengunjung daripada pelbagai lapisan masyarakat mengambil peluang menebus insentif Touch ‘n Go eWallet bernilai RM20 sempena pelaksanaan Program Inisiatif Pendigitalan Sektor Peruncitan (ReDI) di Bazar Ramadan RAHMAH (BBR), Jalan Mawai, Kota Tinggi.
Program berkenaan bertujuan mengurangkan kebergantungan kepada wang tunai serta memberi manfaat kepada pengguna dan peniaga menerusi tiga elemen utama iaitu mudah, cepat dan selamat.
Inisiatif itu turut mempromosikan penggunaan e-dompet dalam urusan pembelian sekali gus menyokong pembentukan ekosistem masyarakat tanpa tunai (cashless society) di seluruh negara, khususnya di kawasan luar bandar.
Sejak diperkenalkan pada 2022, insentif Touch ‘n Go eWallet bernilai RM20 kepada pengguna dilaksanakan bagi memacu pendigitalan sektor peruncitan luar bandar serta menggalakkan peniaga mikro, kecil dan sederhana mengadaptasi teknologi pembayaran digital.
Langkah tersebut secara tidak langsung membantu meningkatkan pendapatan peniaga melalui pengurusan transaksi kewangan yang lebih sistematik dan teratur.
Sehingga kini, pelaksanaan Program ReDI oleh KPDN berjaya membantu 22,368 peniaga di seluruh negara mendaftar dan menggunakan kemudahan e-dompet merangkumi pelbagai peringkat usia dan latar belakang.
Sementara itu, penerima insentif Touch ‘n Go eWallet RM20, Suhana Suliman, 45, menyifatkan inisiatif berkenaan sebagai langkah proaktif dalam memperluas penggunaan transaksi digital dalam kalangan masyarakat.

Peniaga Bazar Ramadan RAHMAH (BRR) Jalan Mawar, Kota Tinggi memanfaatkan pembayaran digital menerusi Program ReDI KPDN bagi transaksi lebih mudah, cepat dan selamat.
“Inisiatif berkenaan bukan sahaja memudahkan urusan pembelian, malah membantu pengguna beralih kepada kaedah transaksi yang lebih selamat, cepat dan sistematik.
“Program seperti ini wajar diteruskan pada masa hadapan agar lebih ramai peniaga dan pengunjung bazar dapat menikmati manfaat pendigitalan,” katanya.
Program ReDI merupakan usaha kolaboratif KPDN bersama Kerajaan Negeri dan rakan strategik termasuk Bank Negara Malaysia (BNM), Payments Network Malaysia (PayNet), ShopeePay, GrabPay, Maybank, Touch ‘n Go dan Boost serta 152 Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di seluruh negara.
-RI





