Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurPahang

38,500 Pengunjung Sertai PJRM Aidilfitri di Pahang

By 18 Mac 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Akmar Zulkifli (Pahang)/KPDN Negeri Pahang

KUANTAN, 18 Mac (MalaysiaAktif) – Pelaksanaan Program Jualan Rahmah MADANI (PJRM) Aidilfitri di Pahang setakat ini berjaya menarik kehadiran lebih 38,500 pengunjung dengan nilai jualan terkumpul mencecah RM4 juta, sekali gus membuktikan sambutan yang amat menggalakkan daripada masyarakat terhadap inisiatif yang dilaksanakan kerajaan.

Fuziah menyerahkan sumbangan kepada salah seorang penerima.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Dr. Fuziah Salleh berkata sehingga kelmarin, sebanyak 133 program telah berjaya dilaksanakan, manakala baki 45 lagi program dijadualkan berlangsung sehingga 30 Mac ini bagi memastikan lebih ramai rakyat berpeluang mendapatkan barangan keperluan pada harga yang lebih berpatutan sempena sambutan Aidilfitri.

Beliau berkata berbeza dengan pelaksanaan PJRM biasa, edisi Aidilfitri kali ini turut melibatkan penambahan beberapa Unit Simpanan Stok (SKU) yang menerima subsidi kerajaan, khususnya bahan berkaitan penyediaan juadah dan kuih raya.

“Antara barangan tambahan yang ditawarkan termasuk bahan asas pastri seperti gula kastor, esen vanila, serbuk penaik dan serbuk koko, serta ramuan hiasan dan masakan seperti badam, cip coklat, coklat makanan, cornflakes dan mentega masakan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Program Jualan Rahmah MADANI (PJRM) Mega Aidilfitri 2026 dan Agihan Wakalah Zakat Korporat Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), di Perkarangan Masjid Sultan Ahmad Shah, Sungai Isap Perdana, di sini semalam.

Antara bahan basah yang dijual sempena Program Jualan Rahmah MADANI.

Selain jualan, Majlis Serahan Sumbangan Zakat Wakalah SSM di Sungai Isap turut diadakan melibatkan 100 penerima asnaf yang menerima sumbangan tunai RM200 dan bakul makanan bernilai RM100 seorang.

Di Pantai Sepat pula, Program Santuni Asnaf Mukim Penor memberi manfaat kepada 150 penerima melalui sumbangan tunai RM200 daripada Tenaga Nasional Berhad dan bakul makanan daripada Econsave Sdn. Bhd.

-RI

Tinggalkan komen anda