Skip to main content
Berita TempatanBerita SelatanJohor

Aidilfitri: 2.2 Juta Kenderaan Dijangka Guna Rangkaian PLUS Sehari

By 17 Mac 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Mohd Zahid Othman (Johor)/Facebook Fazli Salleh

JOHOR BAHRU, 17 Mac (MalaysiaAktif) – Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Negeri Mohamad Fazli Mohamad Salleh berkata rangkaian Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) dijangka merekodkan kira-kira 2.2 juta kenderaan sehari, manakala Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) dianggarkan menerima sekitar 66,000 kenderaan sehari, meningkat berbanding hari biasa sempena Aidilfitri ini.

Beberapa langkah persediaan telah disusun oleh pihak PLUS dan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) bagi memastikan kelancaran perjalanan pengguna lebuh raya

Menurut beliau, bagi memastikan kelancaran perjalanan pengguna, sebanyak 67 pasukan PLUSRonda akan diaktifkan selain kerjasama bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bagi pemantauan trafik serta penguatkuasaan keselamatan jalan raya.

“Pemantauan berterusan turut dilaksanakan termasuk penggunaan SmartLane di lokasi tertentu bagi mengurangkan kesesakan,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook, hari ini.

Dalam pada itu, seramai 360 petugas plaza tol akan bertugas dengan 287 lorong tol beroperasi, selain penyediaan 18 kiosk tambah nilai bagi memudahkan pengguna.

Tambah beliau, kemudahan sokongan turut dipertingkatkan melalui penyediaan lapan unit tandas kabin dan enam unit tangki air di sepanjang jajaran lebuh raya selatan.

“Pengguna lebuh raya juga digalakkan merancang perjalanan menggunakan aplikasi MyPLUS Travel Time Advisory (TTA) bagi membantu pengagihan trafik mengikut waktu yang disyorkan.

“Selain itu, kerjasama anggota RELA turut diperkukuh bagi membantu pengurusan parkir di kawasan hentian rehat dan rawat (R&R),” katanya.

Beliau juga berharap segala persediaan yang dilaksanakan serta kerjasama semua pihak dapat memastikan perjalanan rakyat sempena Aidilfitri kali ini berlangsung dengan lancar, selamat dan selesa.

-AA-

Tinggalkan komen anda