
Laporan/foto: Syafiq Jamloh (Maran)/Sh.Nurrul (Pahang)
MARAN, 5 Mac (MalaysiaAktif) – Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan rasa amat dukacita dan kesal atas insiden penghinaan terhadap al-Quran yang disifatkan sebagai perbuatan biadab serta menggugat keharmonian negara dan negeri ini.
Baginda bertitah insiden melibatkan seorang mahasiswa daripada sebuah universiti awam di negeri ini yang bertindak memijak naskhah al-Quran adalah satu perbuatan biadab serta penghinaan yang mengguris hati umat Islam.

Sultan Pahang bercemar duli menyantuni rakyat.
“Apabila al-Quran dipijak, maka yang tercalar bukan sekadar kertasnya, tetapi kesucian wahyu dan maruah umat Islam. Dalam hal ini, saya menegaskan bahawa apabila al-Quran dipijak, diam bukanlah satu pilihan,” titah baginda.
Baginda bertitah demikian ketika berkenan berangkat menyempurnakan Majlis Pemasyhuran Nama Baharu Masjid Felda Jengka 19 yang kini dikenali sebagai Masjid Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, di sini kelmarin.
Baginda turut mengingatkan rakyat mengenai tanggungjawab moral setiap Muslim dalam mempertahankan maruah agama.
Titah baginda, berdiam diri ketika agama dihina adalah tanda lemahnya jiwa dan pudarnya maruah.
Sepertimana ungkapan tokoh ulama tersohor, Buya Hamka, baginda bertitah bahawa ungkapan “jika diam saat agamamu dihina, gantilah bajumu dengan kain kafan” bukanlah seruan kepada keganasan, sebaliknya peringatan tentang tanggungjawab mempertahankan maruah agama.
Walau bagaimanapun, Al-Sultan Abdullah menegaskan bahawa Islam menuntut ketegasan dalam lingkungan keadilan tanpa meruntuhkan keamanan sedia ada.

Tengku Ampuan Pahang mengurniakan sumbangan kepada para penerima.
Sebagai Ketua dan Pelindung Agama Islam Negeri Pahang, baginda menegaskan sebarang penghinaan terhadap Islam wajib ditangani secara tegas tanpa kompromi menurut lunas undang-undang, sambil menekankan bahawa kebebasan bersuara bukanlah lesen untuk menghina agama.
“Mempertahankan kesucian Islam tidak bererti menafikan hak dan penghormatan terhadap agama lain. Kita mempertahankan agama kita dengan tegas, dalam masa yang sama menghormati penganut agama lain yang mengamalkan kepercayaan mereka dengan aman,” titah baginda.
-RI





