
Laporan/foto: S. Shanmuganathan/Sufian Rashid (Seberang Perai Tengah)
BUKIT MERTAJAM, 19 Mac (MalaysiaAktif) – Golongan asnaf dan keluarga kurang berkemampuan di sekitar Juru menarik nafas lega apabila menerima sumbangan persiapan Aidilfitri dalam satu majlis yang berlangsung di Dewan Komuniti Madani Bukit Kecil, di sini kelmarin.

Salah seorang penerima, Amar Hari, berterima kasih atas sumbangan yang diberikan
Ahli Lembaga Amanah TEKUN Nasional Dato’ Zainal Abidin Majid, berkata inisiatif ini merupakan usaha berterusan bagi meringankan beban kewangan keluarga yang terkesan dengan kos sara hidup.
“Harap bantuan ini dapat membantu mereka membuat persiapan raya dengan lebih sempurna, sekurang-kurangnya tak rasa terpinggir, semua pun boleh sama-sama rasa kemeriahan Aidilfitri,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Kampung Bukit Kecil Juru, Mad Saad Mad Napi, menyifatkan program seumpama ini sebagai platform penting dalam memperkukuh hubungan silaturahim dalam komuniti.
“Semangat kebersamaan dalam kalangan penduduk setempat adalah kunci utama dalam memastikan tiada pihak yang tercicir daripada menerima bantuan,” katanya.

Antara penerima sumbangan yang hadir
Bagi seorang penerima, Amar Hari, 11, bantuan tersebut amat bermakna buat dirinya dan keluarga.
“Saya nak kongsi dengan keluarga untuk beli barang raya,” katanya.
Majlis turut diserikan dengan penyampaian duit raya kepada kanak-kanak yang hadir, sekali gus menceriakan suasana dan menyuntik kegembiraan dalam kalangan mereka menjelang sambutan hari kemenangan umat Islam.
-AA-






