
Laporan/foto: Florinah Lunsin (Kudat)
KUDAT, 6 Mac (MalaysiaAktif) – Bazar Ramadan Rahmah MADANI yang diadakan di tapak Bazar Ramadan Kudat, di sini menjadi platform kerajaan membantu rakyat mendapatkan juadah berbuka puasa pada harga berpatutan di sini.
Bazar anjuran Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) itu turut mempromosikan penggunaan pembayaran digital selain menawarkan pelbagai pilihan makanan pada harga mampu milik sepanjang bulan Ramadan.
Peniaga apam kukus, Nursuhadah Ismail, 35, berkata program tersebut meningkatkan kesedaran masyarakat untuk menggunakan e-dompet di samping memudahkan urusan perniagaan.

Nursuhadah merupakan salah seorang peniaga yang terpilih menyertai Jualan Menu Rahmah sempena Bazar Ramadan Rahmah Madani.
“Program ini membantu masyarakat mendapatkan makanan pada harga lebih murah sekali gus meringankan kos perbelanjaan harian penduduk di Kudat,” katanya ketika ditemui di tapak bazar berkenaan pada Rabu.
“Penggunaan e-dompet juga memudahkan urusan pembayaran antara peniaga dan pelanggan tanpa perlu menggunakan wang tunai,” katanya.
Sementara itu, pengunjung, Ruslinah Tapoh, 39, berharap program tersebut dapat diteruskan agar lebih ramai masyarakat di luar bandar menerima manfaat terutama peniaga kecil.

Ruslinah bersama anak-anaknya antara pengunjung yang berbaris menebus pin tambah nilai e-wallet yang diberikan secara percuma.
“Hari ini ada e-dompet yang diberikan secara percuma walaupun nilainya tidak besar namun bagi kami sumbangan ini amat bermakna kerana boleh digunakan untuk membeli makanan berbuka puasa,” katanya.
“Saya berharap program seperti ini dapat diteruskan pada masa hadapan,” katanya.
Terdahulu, pihak penganjur turut mengedarkan nombor PIN tambah nilai e-dompet bernilai RM20 secara percuma kepada 900 pengunjung terawal menerusi aplikasi Touch ‘n Go eWallet.
-RJ-





