
Laporan/foto: Municca Kiat/Florensia Padasian (PPUNR) (Ranau)
RANAU, 6 Mac (MalaysiaAktif) – Persatuan Unduk Ngadau Ranau (PUNR) meneruskan misi bantuan kemanusiaan ke daerah Tenom selepas melaksanakan bantuan kepada mangsa banjir di Paitan sebelum ini.
Pengerusi PUNR, Florensia Padasian berkata misi tersebut dilaksanakan bagi membantu meringankan beban mangsa banjir melalui penglibatan sukarelawan yang menyediakan bantuan keperluan asas serta sokongan moral kepada penduduk terjejas.
“Misi ini selaras dengan objektif PUNR sebagai salah satu pusat pengumpulan dana dan bantuan di daerah Ranau bagi menyalurkan keperluan asas seperti bekalan air bersih, makanan termasuk beras, pakaian dan barangan keperluan harian kepada mangsa banjir,” katanya ketika ditemui di Hotspot Center ADUN Sugut di sini pada Jumaat.
“Kami juga akan memastikan bantuan yang disalurkan disampaikan dengan cepat, berkesan dan tersusun selain meningkatkan kerjasama strategik antara persatuan dengan pihak berkepentingan di daerah yang terlibat dengan bencana,” katanya.
Aktiviti kesukarelawanan yang diterajui oleh PUNR itu turut dibantu beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) antaranya Ranau Free Market, Kelab Pacuan Empat Roda Ranau (RFWDA) dan Kelab Sukarelawan Ranau 4×4 (KSR4X4).
Misi bantuan kemanusiaan ke daerah Tenom dijadualkan dilaksanakan pada Ahad ini melibatkan seramai 35 sukarelawan menggunakan 16 kenderaan yang membawa sumbangan pakaian, selimut, makanan kering, lampin pakai buang kanak-kanak, air minuman dan ubat-ubatan.
-RJ-





