Skip to main content
Berita TempatanSarawak

BIRHAS Jadi Platform Muhasabah, Mantap Kerohanian Jemaah

By 13 Mac 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Iswandi Kassim (Sri Aman)

SRI AMAN, 13 Mac (MalaysiaAktif) – Program Bicara Rohani Hal Ehwal Islam (BIRHAS) yang diadakan semalam di Masjid Bandar Sri Aman menjadi platform umat Islam setempat melakukan muhasabah diri dan mempertingkatkan kualiti ibadah sepanjang Ramadan.

Abang Borhanuddin menyampaikan tazkirah pada program BIRHAS di Masjid Bandar Sri Aman yang menekankan kepentingan muhasabah diri dalam meningkatkan kualiti ibadah di fasa pertengahan Ramadan.

Program anjuran Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS) melalui Pejabat Agama Islam Bahagian Sri Aman dengan kerjasama Jawatankuasa Pengurusan Masjid Bandar Sri Aman itu bertujuan memberi pengisian rohani kepada para jemaah.

Timbalan Pengarah I (Dasar) JAIS Abang Borhanuddin Abang Ahmad Masuine berkata fasa pertengahan Ramadan merupakan waktu terbaik bagi jemaah menilai kembali amalan yang telah dilaksanakan.

“Fasa pertengahan Ramadan merupakan masa terbaik untuk kita menilai kembali amalan agar dapat terus diperbaiki,” katanya ketika menyampaikan tazkirah ringkas pada program tersebut.

Beliau turut mengajak jemaah memanfaatkan baki bulan Ramadan dengan meningkatkan amalan serta menghayati pengisian rohani yang disampaikan.

Majlis tersebut turut dihadiri Pegawai Daerah Sri Aman Shariff Bujang.

Program berkenaan diisi dengan acara berbuka puasa secara berjemaah diikuti solat Maghrib, Isyak dan solat sunat Tarawih bersama masyarakat setempat.

Pada majlis sama, Abang Borhanuddin turut menyempurnakan simbolik penyerahan Al-Quran Mushaf Wakaf kepada Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Masjid Bandar Sri Aman Azmi Morshidi.

Penyerahan tersebut sebagai tanda sokongan JAIS terhadap usaha memakmurkan institusi masjid serta menyemarakkan budaya membaca dan menghayati Al-Quran dalam kalangan masyarakat.

Penganjuran BIRHAS diharap dapat memperkukuh hubungan antara jabatan, pengurusan masjid dan komuniti di samping memartabatkan peranan masjid sebagai pusat pembangunan ummah.

-RJ-

Tinggalkan komen anda