Skip to main content
Berita TempatanSarawak

Keindahan Seni Bina Yu Long San Tian En Si Tarik Pelancong

By 13 Mac 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Chan Suk Leng/Sa’adi Pasong (Sibu)

SIBU, 13 Mac (MalaysiaAktif) – Tokong Yu Long San Tian En Si yang terletak di KM26 Jalan Sibu–Bintulu bukan sekadar pusat ibadat malah menjadi simbol keharmonian budaya di Sarawak serta tarikan pelancongan yang semakin dikenali di peringkat antarabangsa.

Kompleks tokong seluas 23 ekar itu diiktiraf sebagai tokong terbesar di Malaysia dan antara yang terbesar di Asia Tenggara sekali gus menjadikan Sibu sebagai destinasi penting dalam pelancongan budaya.

Wakil Ahli Jawatankuasa Tokong Ting An Ting berkata pembinaan tokong tersebut bermula pada tahun 2002 apabila pengasasnya Hii Siew Ong mengetuai usaha membangunkan sebuah pusat ibadat yang menggabungkan tiga ajaran utama iaitu Konfusianisme, Buddhisme dan Taoisme.

Ting An Ting (kiri) ketika ditemu bual MalaysiaAktif mengenai sejarah pembinaan Tokong Yu Long San Tian En Si yang bermula pada tahun 2002.

“Fasa pertama pembinaan bermula dengan upacara pecah tanah pada tahun 2004 dan mengambil masa enam tahun sebelum perasmian patung dewa pada tahun 2009,” katanya ketika ditemui MalaysiaAktif hari ini.

Beliau berkata keunikan tokong berkenaan terserlah melalui pembinaannya yang melibatkan kerjasama antara pakar seni bina dari China bersama penduduk tempatan Sibu berbangsa Iban.

“Kerjasama tersebut mencerminkan semangat perpaduan masyarakat berbilang kaum di Sarawak,” katanya.

Dewan Raja Syurga “Tian Wang Dian” dewan pertama yang dibina di Yu Long San Tien En Si.

Walaupun sebahagian bahan binaan diimport dari China bagi mengekalkan keaslian seni bina tradisional, kerjasama tersebut berjaya menghasilkan struktur yang indah termasuk Dewan Mahavira serta menara loceng dan gendang yang menjadi mercu tanda kompleks itu.

Kompleks tokong ini turut dihiasi pelbagai elemen seni seperti sembilan patung dewa kristal, 18 wira gangsa, ukiran patung dewa dan Buddha selain kolam feng shui, bebola batu berputar serta ukiran 12 zodiak Cina daripada batu khas.

Selain menjadi tempat ibadat, Yu Long San Tian En Si juga berperanan sebagai pusat pembelajaran budaya apabila seni bina dan ukiran dinding di kompleks ini memaparkan nilai serta kisah tradisi masyarakat Cina untuk dihargai oleh generasi muda.

-RJ-

Tinggalkan komen anda