
Laporan/foto: Salawati Mat Shariff (Daerah Timur Laut)
BUKIT BENDERA, 4 Mac (MalaysiaAktif) – Program Falak Outreach di Masjid Jamek Bukit Bendera menjadi tumpuan utama pelajar, komuniti setempat serta pengunjung bagi melihat fenomena unik gerhana bulan berdarah.

Taklimat disampaikan oleh urusetia sebelum sesi cerapan dijalankan.
Program yang bertujuan menjadikan fenomena falak sebagai satu kesedaran menyeluruh sekali gus memperkasa ilmu astronomi dari perspektif syariah dan sains itu memilih Masjid Jamek Bukit Bendera sebagai lokasi pencerapan berikutan kedudukannya yang tinggi dan terbuka.
Pegawai Penyelidik Jabatan Mufti Negeri Pulau Pinang Mohd Salmi Shaimi berkata gerhana bulan penuh berlaku ketika bulan purnama berada setentangan dengan bumi dan terlindung daripada cahaya matahari, menyebabkan bulan memasuki bayang bumi.
Menurutnya, fenomena ini melalui beberapa fasa iaitu penumbra, umbra separa dan umbra penuh.
“Ketika fasa penuh, bulan kelihatan merah tembaga atau blood moon akibat pembiasan cahaya matahari oleh atmosfera bumi. Cahaya biru tersebar manakala cahaya merah diteruskan ke arah bulan, menghasilkan warna kemerahan yang jelas,” katanya pada program anjuran Jabatan Mufti Negeri Pulau Pinang dengan kerjasama Masjid Jamek Bukit Bendera dan Perbadanan Bukit Bendera, di sini semalam.

Antara pengunjung yang hadir ke Program Falak Outreach yang diadakan di Masjid Jamek Bukit Bendera.
Beliau turut menegaskan gerhana bulan merupakan fenomena semula jadi yang selamat dilihat dengan mata kasar, namun penggunaan binokular dan teleskop membantu pemerhati melihat permukaan bulan serta bayang bumi (umbra) dengan lebih terperinci.
Bagi pengunjung, Mardhiah Mazlan, 24, pengalaman menyaksikan sendiri perubahan warna dan fasa gerhana walaupun sesekali dilindungi awan amat mengagumkan.
“Sebagai Muslim, kita bukan sahaja melihatnya sebagai fenomena alam, tetapi memahami hikmah di sebalik kejadian ini dari sudut syariah dan sains,” katanya.
Selain sesi pencerapan, pengunjung turut disajikan dengan sesi Podcast MutiaraFM serta pameran interaktif oleh Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM), yang memperkaya pengalaman dengan maklumat berkaitan pemetaan dan kedudukan geografi.
-RI






