
Laporan/foto: Matsukarmi Suani/Rizalman Daim (Balingian)
BALINGIAN, 2 Mac (MalaysiaAktif) – Timbalan Menteri Kesihatan merangkap Ahli Parlimen Mukah Dato’ Hanifah Hajar Taib menyempurnakan Majlis Penyampaian Sumbangan Bakul Kasih kepada masyarakat setempat di sini semalam.
Program tersebut bertujuan meringankan beban golongan sasar di samping menyemarakkan semangat kebersamaan menjelang musim perayaan.

Kamri Dairi (empat dari kanan) mewakili Rosnie Mohd Etli menerima sumbangan Bakul Kasih daripada Hanifah pada majlis yang diadakan di Balingian.
“Secara peribadi, saya mewakili penerima mengucapkan terima kasih atas sumbangan Bakul Kasih ini yang sekurang-kurangnya dapat meringankan beban dan pengisiannya menepati keperluan dapur setiap rumah,” kata wakil penerima Kamri Dairi ketika ditemui hari ini.
Seramai 25 penerima terdiri daripada penduduk yang mewakili enam kampung di sekitar kawasan Balingian dipilih menerima sumbangan barangan keperluan asas bagi memastikan kebajikan rakyat terus terpelihara.

Hanifah turun padang meluangkan masa mengagihkan bubur lambuk kepada peniaga di Bazar Ramadan Balingian.
Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri Balingian Abdul Yakub Arbi, Residen Bahagian Mukah Kueh Lei Poh, Pegawai Daerah Mukah Peleadzman Ahip serta ketua jabatan dan pemimpin masyarakat setempat.
-RJ-





