
Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus (Labuan)
LABUAN, 8 Mac (MalaysiaAktif) – Program Ilmu dan Bakti Siri II anjuran Pasukan Kebajikan Kanak-Kanak Labuan (PKKKL) dengan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat Labuan berupaya merapatkan hubungan para belia di bawah seliaan Jabatan Kebajikan Masyarakat dengan komuniti tempatan.

Para Ahli Jawatankuasa PKKKL bersama para peserta memasak bubur jagung.
Menurut Pengerusi PKKKL Ahmad Radzi Abd Halim, golongan belia yang dilibatkan dalam program itu mampu menunjukkan komitmen positif dalam menjayakan program kemasyarakatan khasnya sepanjang bulan Ramadan.
“Program yang dilaksanakan bertujuan memberi pendedahan kepada para belia tentang kepentingan khidmat masyarakat, di samping membina keyakinan diri serta memupuk nilai tanggungjawab dalam kehidupan bermasyarakat.
“Penglibatan belia dalam aktiviti sebegini bukan sahaja memberi manfaat kepada masyarakat, malah memberi peluang kepada mereka untuk menyumbang kepada masyarakat selain mendidik mereka tentang nilai kerjasama, disiplin dan empati terhadap golongan lain,” katanya semasa ditemui pada program itu, di sini semalam.

Para belia yang dilibatkan gigih membungkus bubur jagung.
Jelasnya, antara aktiviti yang melibatkan seramai 15 orang belia itu termasuk saringan kesihatan remaja, slot kaunseling dan motivasi serta program gotong-royong memasak bubur jagung untuk diagihkan kepada orang ramai menjelang waktu berbuka puasa.
“Melalui program tersebut, para belia turut berganding bahu mengedarkan bubur jagung ke lima buah masjid dan surau sekitar Labuan sebagai tanda keprihatinan dan usaha menyemai semangat berkongsi rezeki dalam bulan yang penuh keberkatan ini,” katanya.
Tambahnya, PKKKL akan meneruskan program seumpama ini pada masa hadapan bagi memastikan golongan belia terus diberi ruang untuk terlibat dalam aktiviti yang bermanfaat serta memperkukuh hubungan antara masyarakat setempat.
-RI





