
Laporan/foto: Mohd Hanif Ahmad (Mersing)/Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar
MERSING, 8 Mac (MalaysiaAktif) – Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan berangkat menyantuni rakyat serta meninjau suasana perniagaan di Bazar Ramadan Taman Lautan Biru, di sini semalam.

Sultan Ibrahim berkenan mendukung seorang kanak-kanak ketika berangkat menyantuni rakyat sempena lawatan ke Bazar Ramadan Taman Lautan Biru di Mersing.
Keberangkatan Seri Paduka Baginda diserikan dengan penyampaian kurniaan peribadi kepada setiap pemilik gerai yang menjalankan perniagaan di bazar berkenaan.
Kehadiran Baginda menarik perhatian pengunjung yang tidak melepaskan peluang untuk bersalaman serta bergambar bersama.
Pengunjung, Burhanuddin Jamil, 39, berkata keberangkatan Seri Paduka Baginda menceriakan suasana selain menunjukkan keprihatinan Baginda terhadap rakyat.

Orang ramai mengambil peluang bersalaman dan bergambar bersama KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim.
“Tuanku sangat mesra dengan rakyat. Kehadiran Tuanku di bazar Ramadan seperti ini memang menggembirakan kami,” katanya.
Turut hadir Pegawai Daerah Mersing Jamil Hasni Abdullah dan Panglima 21 Grup Gerak Khas Ahmad Shuhaimi Mat Wajab.
Kehadiran pemimpin setempat dan pegawai tinggi keselamatan ini bagi mengiringi lawatan tersebut sekali gus memperkukuh hubungan antara institusi diraja dan masyarakat.
-RI





