
Laporan/foto: Sophia Aren Erik/Kesai Andi (Tatau)
TATAU, 10 Mac (MalaysiaAktif) – Inisiatif lawatan bulanan oleh Unit Terapi Cara Kerja (OT) dan Fisioterapi Klinik Kesihatan Tatau ke Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) Sinaran Kasih Tatau membantu meningkatkan perkembangan pelatih Orang Kurang Upaya (OKU) di daerah ini.
Program kolaboratif tersebut turut menjadi platform perkongsian kepakaran kepada petugas PPDK bagi memastikan kaedah latihan yang lebih berkesan dapat dilaksanakan secara berterusan.

Fiona membimbing pelatih PPDK Sinaran Kasih dalam aktiviti pengamatan visual bagi meningkatkan fokus, daya ingatan dan koordinasi mata-tangan sebagai persediaan prapenulisan.
Antara aktiviti dijalankan termasuk latihan motor halus dan kasar, aplikasi sensory diet seperti joint compression, rangsangan vestibular serta latihan imbangan dan koordinasi badan.
Petugas Unit Terapi Cara Kerja (OT), Fiona Limban berkata program tersebut menunjukkan perkembangan positif terhadap pelatih yang mengikuti sesi bersama pakar.
“Selepas mengikuti aktiviti pakar, kami melihat perubahan positif dari segi fokus dan emosi pelatih,” katanya ketika ditemui di PPDK Sinaran Kasih Tatau, di sini hari ini.

Patricia Lendai membimbing pelatih PPDK Sinaran Kasih melakukan latihan imbangan menggunakan bola terapi bagi menguatkan otot teras dan meningkatkan koordinasi badan pelatih.
Petugas Fisioterapi, Patricia Lendai berkata bimbingan yang diberikan turut membantu dalam pelaksanaan tugasan harian mereka di pusat tersebut.
“Ilmu mengenai rangsangan vestibular yang dikongsi sangat praktikal untuk digunakan dalam aktiviti bersama pelatih,” katanya.
Pelatih juga menunjukkan perkembangan positif hasil latihan yang dijalankan secara konsisten.
Penyelia PPDK, Regina Christopher berkata latihan yang dijalankan membantu meningkatkan keyakinan pelatih sebelum melangkah ke alam persekolahan formal.

Regina Christopher sentiasa memastikan setiap pelatih mendapat modul latihan yang terbaik.
“Latihan koordinasi ini memberi keyakinan kepada mereka sebelum melangkah ke sekolah formal nanti,” katanya.
Melalui pelaksanaan aktiviti secara sistematik, pelatih bukan sahaja dibantu dari aspek perkembangan fizikal malah turut dirangsang dari segi fungsi kognitif serta kemahiran pra-penulisan sebagai persediaan awal ke alam persekolahan.
Inisiatif berterusan ini mencerminkan komitmen petugas kesihatan di daerah Tatau dalam memastikan golongan OKU terus menerima sokongan pembangunan diri.
-RJ-





