Skip to main content
Berita TempatanBerita SelatanJohor

Kebakaran Gudang Perabot: Operasi Pemadaman Hampir 10 Jam

By 4 Mac 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Mohd Rafezan Shawal/Facebook JBPM Negeri Johor (Johor Bahru)

JOHOR BAHRU, 4 Mac (MalaysiaAktif) – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) mengambil masa hampir 10 jam untuk melaksanakan operasi pemadaman kebakaran sebuah gudang perabot di Kawasan Perindustrian Pasir Gudang, di sini semalam.

Komander Operasi, Timbalan Penguasa Bomba II Firdaus Ahmad berkata pihaknya menggerakkan sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pasir Gudang dibantu BBP Tebrau dan BBP Johor Jaya dengan kekuatan seramai 28 orang anggota dan jentera pertama tiba di lokasi kejadian pada jam 9.06 pagi sejurus menerima panggilan.

Operasi pemadaman kebakaran telah selesai sepenuhnya lewat jam 7.00 malam yang mengambil masa selama 10 jam bagi memastikan tiada lagi punca api daripada kayu perabot masih ada di sekitar lokasi kebakaran agar tidak mencetuskan kebakaran semula.

“Kebakaran berjaya dikawal pada 10.07 pagi dan operasi tamat sepenuhnya pada jam 7.00 malam selepas kerja-kerja pemadaman dan pemeriksaan menyeluruh dilaksanakan bagi memastikan tiada punca api yang boleh mencetuskan kebakaran kembali,” katanya menerusi kenyataan, di sini semalam.

Menurutnya, kebakaran melibatkan sebuah gudang penyimpanan barangan perabot yang berkeluasan 200 kaki panjang, 300 kaki lebar dan 15 kaki tinggi dengan anggaran kemusnahan hampir 80 peratus.

“Setakat ini, tiada kemalangan jiwa dan kecederaan dilaporkan sepanjang operasi berkenaan dan punca kebakaran serta jumlah kerugian masih dalam siasatan pihak bomba,” katanya.

Beliau turut menasihatkan kepada semua pemilik premis industri agar sentiasa memastikan sistem perlindungan kebakaran seperti pili bomba, sistem penggera dan peralatan pemadaman berada dalam keadaan baik serta menjalankan latihan kecemasan secara berkala bagi mengurangkan risiko kebakaran.

-RI

Tinggalkan komen anda