
Laporan/foto: Ainie Elah (Sarikei)/Salleh Immun/SMK Three Rivers (Mukah)
KUCHING, 31 Mac (MalaysiaAktif) – Keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 yang diumumkan hari ini menyaksikan peningkatan pencapaian pelajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sarikei Baru, Sarikei dan SMK Three Rivers, Mukah.
Pengetua SMK Three Rivers Donny Dahlan berkata sekolahnya merekodkan Gred Purata Sekolah (GPS) 4.09 iaitu peningkatan 0.5 mata berbanding 4.59 pada tahun sebelumnya.
“Peratus calon layak mendapat sijil turut meningkat kepada 98.64 peratus melibatkan 223 calon berbanding 95.88 peratus pada 2024,” katanya ketika ditemui di Mukah, hari ini.
Menurut Donny, seramai 14 calon sekolah berkenaan memperoleh semua A, manakala 65 calon mencapai sekurang-kurangnya 5A.

Pelajar cemerlang SPM 2025 SMK Sarikei Baru bersama guru pembimbing, Dayang Nurul Hanizan Abang Sa’e (tengah) meraikan keputusan cemerlang yang mencatatkan peningkatan Gred Purata Sekolah tahun ini.
Sementara itu, dua pelajar SMK Sarikei Baru memperoleh 9A, dua pelajar (8A), tujuh pelajar (7A), 11 pelajar (6A) dan 10 pelajar meraih 5A.
Pelajar cemerlang Awang Syahzlan Awang Abdul Taib yang memperoleh 9A menyifatkan kejayaannya hasil perancangan pembelajaran sistematik dan sokongan keluarga serta guru.
“Saya menyediakan jadual belajar yang teratur, mengulang kaji secara berkala dan terus merujuk guru jika tidak memahami sesuatu topik,” katanya ketika ditemui di Sarikei, hari ini.
Seorang lagi pelajar 9A, Nadhilah Hans Syahirah Muhammad Azhan berkata beliau banyak memanfaatkan kelas tambahan dan melakukan latihan berterusan untuk meningkatkan kefahaman.
“Saya juga tidak malu bertanya kepada guru apabila kurang faham, namun sokongan keluarga dan rakan membantu mengatasi tekanan sepanjang persediaan peperiksaan,” jelas Nadhilah.
Sementara itu, Syarifah Nur Hidayah Wan Ali yang memperoleh 7A percaya kejayaan memerlukan disiplin, usaha berterusan serta keyakinan diri.
Pencapaian memberangsangkan kedua-dua sekolah ini membuktikan komitmen berterusan warga pendidik dan ibu bapa dalam memastikan kecemerlangan akademik pelajar di Sarawak.
-RJ-





