
Laporan/foto: Mohd Zahid Othman (Johor)
JOHOR BAHRU, 25 Mac (MalaysiaAktif) – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Johor mengambil tindakan segera susulan tular satu hantaran media sosial yang memaparkan sebuah kenderaan dipercayai mengisi petrol RON95 ke dalam tong plastik dalam kuantiti besar di sebuah stesen minyak di sekitar Skudai, pada 21 Mac lalu.
Pengarahnya, Lilis Saslinda Pornomo berkata pihaknya telah melaksanakan pemeriksaan menyeluruh ke atas stesen minyak terlibat, termasuk semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) serta penelitian rekod transaksi dan resit pembelian bagi tujuan pengesahan.
“Hasil semakan awal mendapati terdapat dua transaksi pengisian petrol RON95, iaitu satu ke dalam tangki kenderaan dan satu lagi ke dalam tong plastik yang diletakkan di bahagian but, dengan kuantiti melebihi had yang dibenarkan oleh Pengawal Bekalan Malaysia.
“Pasukan penguat kuasa KPDN turut turun padang menjalankan siasatan bersama pihak pengurusan stesen minyak serta memberikan peringatan agar sentiasa mematuhi peraturan ditetapkan dan meningkatkan pemantauan bagi mengelakkan kejadian berulang,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Tambah beliau, KPDN Johor akan mengesan serta memanggil pemilik kenderaan berkenaan bagi membantu siasatan lanjut.
Sehubungan itu, satu kes telah dibuka di bawah Subperaturan 12A, Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974, Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana disyaki melanggar arahan Pengawal Bekalan Malaysia.
Kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM1 juta atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
Bagi syarikat pula, denda tidak melebihi RM2 juta, manakala bagi kesalahan kedua dan seterusnya, denda boleh mencecah sehingga RM5 juta.
-AA-






