
Laporan/foto: Nurul Ain Kamil/Facebook Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Pulau Pinang)
SEBERANG PERAI, 16 Mac (MalaysiaAktif) – Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) menyasarkan sekurang-kurangnya 100 koperasi di seluruh negara menjadi pusat pengambilan barang sendiri platform e-dagang Shopee menjelang hujung tahun ini.

Sim ketika berucap semasa Majlis Pra Peluncuran Inisiatif Koperasi sebagai Pusat Pengambilan Sendiri di Koperasi Politeknik Seberang Prai Bhd (KopPSP)
Menterinya, Steven Sim Chee Keong berkata inisiatif itu bertujuan memperluaskan penyertaan gerakan koperasi dalam ekosistem ekonomi digital dan logistik e-dagang.
Beliau berkata demikian selepas melancarkan pusat pengambilan sendiri Shopee pertama di Pulau Pinang yang beroperasi melalui premis koperasi di Politeknik Seberang Perai, kelmarin.
Inisiatif berkenaan merupakan kerjasama antara KUSKOP, Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad, Shopee Malaysia serta rakan logistik SPX Express.

Sim ketika menyempurnakan Majlis Pra Peluncuran Inisiatif Koperasi sebagai Pusat Pengambilan Sendiri di Koperasi Politeknik Seberang Prai Bhd (KopPSP)
Sementara itu, Ketua Hal Ehwal Luar Sea Limited Nik Emir Din berkata kerjasama strategik dengan KUSKOP membantu memperluaskan akses e-dagang kepada rakyat Malaysia selain memperkasakan kedai koperasi sebagai pusat pengambilan bungkusan.
“Setakat ini, sebanyak 25 premis koperasi di seluruh negara, termasuk dua di Pulau Pinang beroperasi sebagai pusat pengambilan sendiri Shopee, manakala 61 koperasi lagi sedang melalui proses saringan,” katanya.
Di Pulau Pinang terdapat kira-kira 819 koperasi dengan 171,713 anggota serta nilai aset berjumlah RM1.29 bilion, mencerminkan potensi besar gerakan koperasi untuk terus diperkasakan dalam ekonomi digital.
-AA-





