
Laporan/foto: Sumardi Sugiman/Muhamad Rizal Sabtu (Limbang)
LIMBANG, 16 Mac (MalaysiaAktif) – Masyarakat setempat bersama ahli Kelab Senamrobik Cergas Kampung Bunga Raya berganding bahu menjayakan program agihan bubur kacang kepada pengguna jalan raya, semalam.
Sebanyak 400 bungkus bubur kacang disediakan secara gotong-royong oleh ahli kelab sebelum diagihkan kepada pengguna jalan raya serta penduduk sekitar sebagai tanda berkongsi rezeki.

Hasbi Habibollah (kanan) menyantuni pengguna jalan raya melalui agihan bubur kacang sempena program kebajikan komuniti di daerah Limbang, kelmarin.
Timbalan Menteri Pengangkutan merangkap Ahli Parlimen Limbang Hasbi Habibollah berkata penganjuran program berunsur kebajikan seperti itu amat digalakkan kerana mampu memperkukuh hubungan silaturahim dalam kalangan komuniti.
“Aktiviti penyediaan dan pembungkusan bubur dilakukan secara gotong-royong oleh ahli kelab bagi memastikan kelancaran program.
“Program seumpama ini juga memberi peluang kepada kelab untuk mendekati masyarakat daripada pelbagai latar belakang,” katanya ketika berucap menyempurnakan majlis itu.
Beliau menegaskan amalan tersebut mampu memupuk semangat kebersamaan dan keprihatinan yang menjadi nilai penting sepanjang bulan Ramadan.
-RJ-





