Skip to main content
Berita TempatanSarawak

Lombak Colop Tradisi Unik Ramadan di Simanggang

By 17 Mac 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Iswandi Kassim (Sri Aman)

SIMANGGANG, 17 Mac (MalaysiaAktif) – Tradisi larian obor unik yang dikenali sebagai lombak colop terus menyemarakkan suasana malam tujuh likur di Kampung Hulu sebagai simbol warisan budaya masyarakat Melayu setempat.

Ketua Masyarakat Penghulu Zamahari Morshidi, 61, berkata tradisi tersebut perlu dipelihara dan dikekalkan agar tidak ditelan arus pemodenan.

Langkah itu penting bagi memastikan generasi muda memahami identiti budaya yang telah lama bertapak di Simanggang.

“Budaya ini bukan sekadar permainan tradisi, malah melambangkan semangat kebersamaan masyarakat kampung dalam menghidupkan suasana malam-malam terakhir Ramadan,” katanya ketika merasmikan Pertandingan Lombak Colop anjuran Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Hulu Pasir Panas di sini, semalam.

Zamahari berkata tradisi tersebut merupakan salah satu warisan sejarah masyarakat Melayu di Simanggang yang telah diamalkan sejak turun-temurun.

Ketua Kampung Hulu Pasir Panas Ahmad Simon Tinggal, 63, berkata permainan tradisi itu mula dikesan sejak awal tahun 1980-an dan pernah dianjurkan oleh hampir setiap kampung Melayu di daerah Sri Aman sebelum ini.

“Saya percaya permainan ini mampu menarik pengunjung luar untuk melihat sendiri keunikan budaya kita yang telah diamalkan lebih 50 tahun,” katanya.

Ahmad memberitahu lombak colop juga berpotensi diangkat sebagai produk budaya dan tarikan pelancongan unik selain mengeratkan silaturahim.

-RJ-

Tinggalkan komen anda