
Laporan/foto: Mohd Haffis Seria (Matu)
MATU, 17 Mac (MalaysiaAktif) – Kempen kesedaran keselamatan jalan raya di daerah ini terus dipergiat menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri menerusi Program Kempen Majlis Keselamatan Jalan Raya (MKJR) Bahagian Mukah.
Timbalan Premier Sarawak Douglas Uggah Embas berkata kempen tersebut memberi tumpuan khusus kepada pengguna laluan Matu-Igan dengan pengagihan sebanyak 600 pek cenderahati kepada orang ramai.
“Antara objektif utama program adalah untuk meningkatkan kesedaran pengguna terhadap kepentingan mematuhi undang-undang jalan raya,” katanya ketika ditemui selepas menyempurnakan program tersebut di Jambatan Batang Igan, semalam.
Program itu turut menyaksikan majlis soft opening jambatan berkenaan yang disifatkan sebagai infrastruktur strategik dalam memperkukuh jaringan perhubungan antara Matu dan Igan.
Pegawai Daerah Matu Hamidah Halpi berkata langkah itu juga bertujuan mengurangkan risiko kemalangan melalui amalan pemanduan selamat serta memupuk sikap bertanggungjawab.
“Kempen ini turut menekankan kepentingan penggunaan peralatan keselamatan seperti tali pinggang keledar dan topi keledar dalam kalangan pengguna jalan raya,” katanya.
-RJ-





