
Laporan/foto: Sufian Rashid (Seberang Perai Tengah)
BUKIT MERTAJAM, 29 Mac (MalaysiaAktif) – Masjid Jamek Alma Jaya akan ditutup sementara bagi memberi laluan kepada kerja-kerja menaik taraf infrastruktur yang kritikal.

Dr. Mohamad (dua dari kiri) menyerahkan Teks Pengisytiharan Penutupan Sementara Masjid Jamek Alma Jaya kepada Pengerusi Kariah Masjid Jamek Alma Jaya.
Menurut Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang yang juga Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) Dato’ Dr. Mohamad Abdul Hamid, penutupan ini merupakan langkah strategik bagi membolehkan kerja-kerja baik pulih bumbung dan infrastruktur yang daif dijalankan dengan sempurna.
“Masjid ini mempunyai 20,000 anak kariah, antara yang terbesar di negeri ini. Usaha menaik taraf ini bukan sekadar pembaikan fizikal, malah satu strategi untuk menggamit lebih ramai umat Islam menetap dan melabur hartanah di kawasan Bukit Mertajam.

Antara ahli jemaah serta anak kariah yang hadir.
“Kita mahu institusi masjid menjadi nadi kepada peningkatan geopolitik dan sosioekonomi umat Islam di Pulau Pinang,” katanya di Majlis Perisytiharan Penutupan Sementara Projek Menaik Taraf Masjid Jamek Alma Jaya, di sini kelmarin.
Sepanjang tempoh penutupan ini, pelaksanaan solat Jumaat akan dipindahkan buat sementara waktu ke dewan terbuka masjid serta beberapa surau kariah yang telah dikenal pasti di sekitar kawasan berkenaan.
Langkah ini diambil sebagai komitmen pihak berkuasa agama dalam memelihara fasiliti rumah ibadat agar kekal selamat dan kondusif untuk komuniti setempat.
-RI





