Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraKedah

Panas Berterusan, Solat Istisqa jadi Ikhtiar

By 27 Mac 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Aidil Azhar/Hasmah Hanafi (Bandar Baharu)

BANDAR BAHARU, 27 Mac (MalaysiaAktif) – Kira-kira 100 jemaah daripada kakitangan jabatan kerajaan, swasta serta penduduk setempat menyertai solat sunat istisqa’ peringkat daerah ini susulan cuaca panas dan kering yang melanda beberapa kawasan di Kedah sejak kebelakangan ini.

Para jemaah sedang bersiap sedia untuk menunaikan solat sunat istisqa’.

Solat sunat istisqa’ tersebut bertujuan memohon kepada Allah SWT agar diturunkan hujan serta mengembalikan keseimbangan cuaca di samping menjadi satu usaha kerohanian dalam menghadapi situasi kemarau yang berpanjangan.

Program anjuran Pejabat Agama Daerah Bandar Baharu di perkarangan Masjid Al-Faten, Serdang, semalam diadakan ekoran kebimbangan dalam kalangan masyarakat yang terkesan terutama berkait aktiviti harian masing-masing.

Imam masjid, Shahrizal Othman, 42, dalam khutbahnya menegaskan bahawa solat sunat istisqa’ merupakan antara ikhtiar penting bagi umat Islam ketika berdepan keadaan cuaca keterlaluan seperti kemarau.

Antara pengisian solat sunat istisqa’ adalah tazkirah menghadapi musibah musim kemarau yang disampaikan oleh Imam Masjid Al-Faten.

“Tujuan kita berhimpun pada hari ini adalah untuk berdoa dan memohon kepada Allah SWT agar diturunkan hujan. Mudah-mudahan segala doa yang dipanjatkan diterima dan dimakbulkan,” katanya.

Selain pelaksanaan solat sunat istisqa’, program tersebut turut melibatkan penyampaian khutbah khas yang memberi penekanan kepada kepentingan tawakal, keinsafan serta usaha berterusan dalam menghadapi ujian cuaca, di samping mengajak masyarakat memperbanyakkan doa dan amalan kebaikan.

-RI

Tinggalkan komen anda