
Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)/Suara Keadilan
SHAH ALAM, 27 Mac (MalaysiaAktif) – Kerajaan Selangor menyambut baik cadangan Kerajaan MADANI untuk melaksanakan aturan kerja anjal secara berperingkat buat penjawat awam susulan krisis tenaga global terkini.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat Selangor Anfaal Saari berkata langkah bekerja dari rumah itu sangat tepat bagi mendepani impak konflik di Timur Tengah.
Menurutnya, pendekatan tersebut bukan sahaja mampu mengurangkan penggunaan petroleum rakyat, malah berupaya mengecilkan beban subsidi kerajaan akibat kenaikan harga minyak di pasaran dunia.
Bagaimanapun, beliau menyeru agar sistem kerja anjal ini dijadikan dasar jangka panjang untuk sektor awam, bukannya sekadar langkah sementara ketika menghadapi krisis tenaga sahaja.
Jelasnya, dasar ini membawa manfaat besar kepada golongan penjaga yang perlu mengimbangi tanggungjawab domestik sambil menjana pendapatan demi kelangsungan hidup keluarga yang lebih stabil.
“Aturan kerja anjal mewujudkan peluang adil untuk penjaga kekal dalam kerjaya, sekali gus memperkukuh daya tahan ekonomi keluarga mendepani ketidaktentuan masa hadapan,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Tambahnya, inisiatif tersebut turut digariskan dalam Dasar Wanita Selangor 2024–2026 bagi merapatkan jurang gender dalam pasaran buruh di semua peringkat dan sektor pekerjaan.
Anfaal juga menggesa pihak swasta melaksanakan aturan kerja inklusif ini memandangkan data TalentCorp membuktikan produktiviti pekerja kekal stabil malah meningkat melalui sistem kerja fleksibel.
Katanya, aspirasi ini selari dengan Garis Panduan Pelaksanaan Aturan Kerja Fleksibel 2024 yang diperkenalkan Kementerian Sumber Manusia bagi memperkasa kebajikan pekerja di seluruh negara.
Langkah proaktif ini diyakini mampu membina ekosistem kerja yang lebih berdaya tahan dan mesra keluarga, sekali gus meminimumkan impak krisis global terhadap rakyat Malaysia.
-RI





