Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraPerlis

Pasangan Suami Isteri Jana Pendapatan Melalui Servis Gosok Baju Raya

By 17 Mac 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Aini

KANGAR, 17 Mac (MalaysiaAktif) – Menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri, permintaan terhadap pelbagai perkhidmatan kecil semakin meningkat termasuk perkhidmatan menggosok baju raya bagi memastikan persalinan tampil kemas dan rapi pada pagi Syawal.

Bagi pasangan suami isteri, Nurul Atieka Rajemi, 30, dan Muhammad Amir Wafiq Roshidi, 31, yang menetap di sekitar Jalan Santan di Kangar, perkhidmatan tersebut dijalankan secara sampingan dari rumah bagi menambah pendapatan keluarga.

Menurut Nurul Atieka, idea menyediakan perkhidmatan tersebut tercetus selepas mereka mencuba pelbagai jenis perniagaan kecil sebelum ini.

“Kami pernah mencuba beberapa jenis perniagaan termasuk menjual kek lapis Sarawak dan sehingga kini masih menjualnya. Namun kami sudah lama bercadang untuk menjalankan perniagaan berbentuk perkhidmatan,” katanya ketika ditemui semalam.

Tambahnya, perkhidmatan tersebut mula dijalankan sejak Oktober tahun lalu dan semakin mendapat sambutan terutama apabila menghampiri musim perayaan.

“Kebanyakan pelanggan menghantar baju kurung moden yang mempunyai manik dan labuci, selain pakaian fesyen terkini yang beralun. Baju Melayu juga ada, malah pakaian kanak-kanak turut dihantar sekali oleh ibu bapa untuk digosok,” katanya.

Menurut beliau, setiap pelanggan lazimnya menghantar sekitar lima helai pakaian, namun ada juga yang menghantar sehingga 30 helai sekali gus menjelang musim perayaan.

Walaupun dijalankan secara sampingan kerana mereka mempunyai pekerjaan tetap pada waktu siang, perkhidmatan tersebut tetap membantu menambah pendapatan keluarga.

-AA-

Tinggalkan komen anda